Batuk tak berhenti? Hati-hati, mungkin itu tibi!

Iklan

Penyakit Tuberkulosis (tibi) atau lebih dikenali sebagai batuk kering adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis.

Penyakit Tuberkulosis (tibi) atau lebih dikenali sebagai batuk kering adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis.Penyakit tersebut telah lama menjadi ancaman kesihatan global dan masih menjadi masalah utama di banyak negara, termasuk Malaysia.

Iklan
Iklan

Jika dilihat pada tahun 2023, jumlah kes tibi yang dilaporkan meningkat kepada 26,781 berbanding 25,391 pada tahun 2022.

Dengan 10.6 juta kes baharu dilaporkan di seluruh dunia pada tahun 2022 dan 1.3 juta kematian, adalah penting bagi kita semua untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini dan mendapatkan rawatan sekiranya dijangkiti.

Iklan

Oleh sebab itu, setiap tahun pada 24 Mac akan diadakan Hari Tuberkulosis Sedunia yang dikhaskan untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit ini dan kesannya yang dahsyat terhadap kesihatan awam di seluruh dunia.

Mengupas isu penyakit tersebut, SinarPlus berkesempatan menemu bual Doktor Perubatan Am di Poliklinik Penawar Johor Bahru, Dr Zubaidi Ahmad.

Iklan

Menurut pakar itu, tibi ialah penyakit bawaan udara yang boleh merebak melalui titisan kecil yang dilepaskan ke udara apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin atau meludah.

Titisan ini mengandungi bakteria tibi yang boleh dihidu oleh individu lain dan seterusnya menjangkiti paru-paru mereka.

Walaupun paru-paru ialah organ utama yang dijangkiti, kuman ini juga boleh merebak ke organ lain seperti otak, tulang belakang, sendi, dan buah pinggang.

Tibi boleh menunjukkan pelbagai gejala bergantung kepada tahap jangkitannya. Antara tanda-tanda utama termasuk:

  • Batuk berterusan lebih dua minggu
  • Batuk berkahak yang kadangkala berdarah
  • Hilang selera makan dan susut berat badan
  • Demam
  • Sukar bernafas (Dispnea)
  • Berpeluh di waktu malam
  • Sakit dada
  • Suara serak

Sekiranya seseorang mengalami simptom tersebut, mereka dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan diagnosis tibi dapat dibuat seawal mungkin.

"Diagnosis akan dibuat berdasarkan simptom pesakit, pemeriksaan fizikal dan penyiasatan lanjut pihak perubatan,” kata beliau.

Individu berisiko

Dalam pada itu, Dr. Zubaidi juga menjelaskan bahawa penyakit itu boleh menjangkiti sesiapa sahaja, namun terdapat golongan yang lebih mudah terdedah kepadanya.

Individu yang mempunyai sistem imun yang lemah lebih berisiko, termasuk mereka yang menghidap HIV atau AIDS, diabetes, serta individu yang pernah dijangkiti bakteria tibi sebelum ini.

Sistem imun yang lemah menyebabkan badan tidak mampu melawan jangkitan dengan berkesan.

Selain itu, bayi, kanak-kanak kecil dan warga emas juga berisiko tinggi kerana daya tahan tubuh mereka yang belum matang atau semakin merosot.

Kekurangan zat makanan turut menjadi faktor yang boleh meningkatkan risiko jangkitan tibi.

Pemeriksaan tibi amat penting bagi golongan berisiko, terutamanya individu yang tinggal serumah dengan pesakit tibi, mereka yang berasal dari negara dengan kadar jangkitan tibi yang tinggi, serta petugas kesihatan yang kerap berdepan dengan pesakit.

Pemeriksaan awal membolehkan rawatan dimulakan lebih cepat untuk mengelakkan komplikasi serius dan mencegah penularan penyakit ini kepada orang lain.

Sementara itu, memetik laporan Centers for Disease Control and Prevention (CDC), walaupun penyakit itu paling kerap menyerang paru-paru (tibi pulmonari), ia juga boleh menjangkiti bahagian tubuh lain, dikenali sebagai tibi ekstrapulmonari.Berikut adalah jenis-jenis tibi:

  • Tibi Pulmonari: Menyerang paru-paru dan merupakan bentuk tibi yang paling biasa. Gejalanya termasuk batuk berterusan, batuk berdarah, dan sakit dada.
  • Tibi Kelenjar: Menyerang kelenjar limfa, terutama di leher, menyebabkan pembengkakan yang mungkin bernanah.
  • Tibi Tulang: Menyerang tulang dan sendi, biasanya tulang belakang dan sendi pinggul atau lutut, menyebabkan sakit dan kemungkinan kecacatan.
  • Tibi Meningitis: Menyerang selaput otak, menyebabkan keradangan yang boleh mengakibatkan gejala serius seperti sakit kepala, demam, dan kekeliruan.
  • Tibi Miliary: Bentuk tibi yang jarang tetapi serius yang mana bakteria menyebar ke seluruh badan melalui aliran darah, menjejaskan pelbagai organ.
  • Tibi Kulit: Menyerang kulit, menyebabkan luka atau ruam yang mungkin bernanah.
  • Tibi Peritonitis: Menyerang lapisan dalam perut, menyebabkan gejala seperti pembengkakan perut dan sakit.
  • Tibi Urogenital: Menyerang sistem kencing dan alat kelamin, boleh menyebabkan masalah kencing dan kesuburan.
Rawatan tuberkulosis memerlukan komitmen dan disiplin tinggi dari pesakit sendiri.

"Hal ini kerana untuk membendung jangkitan ini, pesakit perlulah memakan ubat mengikut jangka waktu yang ditetapkan.

"Selain itu, langkah-langkah untuk berhati-hati supaya jangkitan ini tidak merebak kepada orang lain haruslah diamalkan dengan efektif,” jelas beliau. Memakai topeng

Apabila seseorang itu didapati menghidap tibi, langkah pertama yang diambil ialah isolasi.

Pesakit tuberkulosis harus diasingkan daripada pesakit lain apabila dimasukkan ke wad di hospital.

Staf hospital yang merawat pesakit perlu memakai sarung tangan dan topeng muka untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Rawatan tibi biasanya melibatkan pengambilan ubat seperti isoniazid, rifampisin, pirazinamid, dan etambutol selama 4 hingga 6 bulan.

Doktor akan memantau perkembangan kesihatan pesakit dan menyesuaikan rawatan jika perlu.

Kesan sampingan ubat tibi yang biasa termasuk:

  • Air kencing bertukar warna kepada oren atau merah
  • Mual atau muntah
  • Hilang selera makan
  • Pening atau lemah badan

Pesakit perlu segera berjumpa doktor jika mengalami kesan sampingan serius seperti alahan teruk atau masalah hati.

Mereka harus diberitahu mengenai kesan sampingan ini lebih awal supaya tidak panik.

Ubat harus diambil dengan pengawasan staf perubatan untuk memastikan pesakit mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.

Sepanjang proses pengambilan ubat, pesakit akan berasa lebih sihat.

Pun demikian, ada antara mereka yang harus mengambil ubat secara berterusan dan tidak menghentikan pengambilan walaupun sekali.

Ini kerana tindakan itu boleh menyebabkan bakteria menjadi lebih kuat.

"Justeru, terdapat beberapa langkah berkesan yang boleh diamalkan untuk bersama-sama menghindari jangkitan gejala ini.

"Salah satunya adalah memakai topeng muka N95 yang sememangnya disarankan oleh kerajaan sebagai pelindung paling berkesan untuk jangkitan ini.

"Seterusnya, mengamalkan tujuh langkah mencuci tangan yang betul. Ini akan membantu membasmi kuman pada tangan kita. Selain itu, kita juga boleh memakai sarung tangan apabila mengendalikan pesakit,” katanya.

Sekiranya seseorang mahu batuk atau bersin, disarankan agar mereka menutup mulut sebelum berbuat demikian untuk mengelakkan bakteria merebak.

Bukan itu sahaja, semua bayi yang dilahirkan di Malaysia diberikan suntikan vaksin Bacillus Calmette-Guérin (BCG) untuk mengurangkan risiko jangkitan tibi yang teruk.

Sebagai kesimpulan, walaupun penyakit berkenaan boleh mengundang maut jika tidak dirawat, namun ia masih boleh dicegah sekiranya pesakit mematuhi arahan perubatan dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Oleh yang demikain, setiap individu bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri dan memastikan persekitaran yang sihat bagi mencegah jangkitan tibi dalam komuniti.