KELUARGA kerabat Pahang sememangnya sering mendapat perhatian ramai di laman sosial dan ketika berjumpa secara berdepan.
Lebih-lebih lagi dengan gelagat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang perwatakannya ramah dengan rakyat, menjadikan baginda lebih disayangi ramai.
Semalam, berlaku pertemuan manis antara Tunku Azizah bersama bekas gurunya, Raja Norshiah Raja Mohd Nor yang turut hadir ke Program World #QuranHour 2025 yang berlangsung di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Momen itu berlaku ketika baginda berangkat pulang, dan Tunku Azizah sempat menyapa wanita berusia 79 tahun itu serta menyifatkannya sebagai cikgu yang garang.
"Awak sangat garang. Buat saya mengemop lantai setiap hari, tak benarkan saya memasak jika tidak memakai apron.
"Tiap-tiap hari selepas memasak, saya disuruh menyental lantai dapur dari depan sampai ke belakang.
"Garang betul, tetapi kerana cikgulah saya pandai memasak," kata Tunku Azizah.
'Kerana cikgulah saya pandai memasak.' Kongsi momen manis zaman sekolah, 'guru garang' gembira Tunku Azizah masih mengingatinya
Iklan