Naik basikal pusing kampung, cuci mata tengok sawah padi. Percutian bersama keluarga kembalikan memori desa di Aidilfitri

Iklan

BAGI sesetengah orang, musim perayaan bukanlah tentang pulang ke kampung halaman, tetapi lebih kepada momen berkumpul bersama keluarga tersayang walau di mana sahaja.

Ada yang menetap di bandar, ada juga yang sudah lama tiada kampung untuk dituju. Namun, suasana keakraban tetap boleh dirasai.

Iklan
Iklan

Lantaran itu, pasangan suami isteri, Mahani Muhammad dan Omar Zakaria menterjemahkan minat mereka terhadap seni ukir kayu dan kecantikan rumah tradisional dengan membina sebuah inap desa bercirikan rumah kampung.

Lebih istimewa, ia bukan sekadar tempat penginapan, tetapi juga ruang untuk mereka yang ingin merasai suasana desa walaupun sudah lama berjauhan daripadanya.

Iklan

Dengan pemandangan sawah padi yang mendamaikan serta kemudahan yang disediakan, Homestay Kayu Anis Raudhah menjadi lokasi ideal untuk adik-beradik berkumpul dan mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan, terutama pada musim perayaan.

Iklan

Memulakan bicara awal bersama penulis, Mahani yang merupakan anak jati Simpang Lima, Sungai Besar memberitahu, mereka membeli sebidang tanah di kampung sebagai pelaburan masa hadapan.

"Kami memang bercadang untuk membina rumah sebegini sebagai lokasi percutian apabila sudah bersara nanti untuk mengisi masa lapang.

"Alhamdilillah, pada tahun 2019, perancangan tersebut berjalan dengan lancar. Kebetulan tanah yang dibeli berhadapan dengan pemandangan sawah padi. Ini satu bonus," katanya.

Naik taraf fasiliti

Sewaktu awal pembinaan, yang lalu lalang di kawasan pembinaan itu melahirkan rasa teruja melihat rumah tradisional kayu yang dibina.

"Disebabkan tanah lot tepi maka keluasan tersebut hanya mampu memuatkan lima unit rumah bersaiz kecil sahaja,” ujar ibu kepada empat orang anak itu.

Ketika beroperasi sebelum pandemik dahulu, masih belum banyak penginapan sedemikian di kawasan ini.

Namun kini, boleh dilihat banyak inap desa yang dibina terutama di kawasan Kuala Selangor, Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

Pun demikian, pasangan berkenaan tidak menganggap ia satu cabaran, malah boleh bersaing secara sihat. Tempahan di sini juga kerap penuh terutama hari minggu, cuti sekolah dan juga perayaan.

Bagi menarik minat pelanggan, pasangan tersebut menaik taraf fasiliti sedia ada dengan menyediakan kolam renang, tempat untuk BBQ dan juga basikal untuk tetamu jalan-jalan meronda kawasan kampung.

Malah, lokasi ini amat sesuai untuk anda yang ingin berkumpul dengan keluarga besar terutama ketika sambutan hari raya.

Jika sudah tiada ibu ayah dan mahu berkumpul bersama adik-beradik dengan suasana kampung maka ini adalah tempatnya.

Selain itu, anda juga boleh melawat tempat-tempat menarik seperti Bukit Melawati, Pantai Cermin, memberi makan burung helang di Pasir Penambang, melihat keunikan kelip-kelip di malam hari di Kampung Kuantan, bermandi manda di MSekin Wonderland dan banyak lagi.

Selain itu, kawasan perkampungan di sini juga merupakan syurga makanan, bolehlah anda mencubanya!