PELAKON legenda era silam, Datin Noor Azizah Azizul Hassan, meninggal dunia pada usia 79 tahun.
Seniwati yang pernah membintangi filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P Ramlee terbitan tahun 1969 itu dilaporkan mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.
Menurut laporan Astro AWANI, Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Paloh, Ipoh, sekitar pukul 3 pagi.
Memetik laporan Kosmo!, adik Allahyarham, Puteh Zabidah, memaklumkan bahawa Noor Azizah menghidap masalah buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis sejak setahun lalu, namun keadaannya masih terkawal.
"Namun ALLAH lebih menyayanginya," katanya.
Difahamkan, Allahyarham yang tinggal di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pulang ke Ipoh, Perak untuk bersama keluarga sempena sambutan Aidilfitri dan meraikan kepulangan seorang adiknya dari luar negara.
Jenazah Noor Azizah yang mempunyai dua orang cahaya mata akan dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Paloh, Ipoh.
Latar belakang dan karier
1. Penglibatan Allahyarham dalam dunia perfileman berlaku secara kebetulan ketika beliau melawat Studio Jalan Ampas di Singapura.
2. Sebagai info tambahan, Noor Azizah memulakan kerjaya lakonan menerusi filem Dayang Senandung terbitan tahun 1965.
3. Pencapaian beliau bukan sahaja di Malaysia. Allahyarham turut membintangi filem terbitan negara jiran, Indonesia, iaitu Malin Kundang pada tahun 1971 bersama aktor terkenal Rano Karno.
4. Selain itu, Allahyarham pernah memegang peranan sebagai Dr Susan Lim dalam drama bersiri terkenal, Bailey Bird terbitan produksi Australia pada tahun 1977.
5. Antara filem lain lakonannya termasuk Raja Bersiong (1968), Kembang Layu (1970), Perintah Seri Paduka (1970), Durjana (1971), Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh (1971), Sayang Anakku Sayang (1976), Cinta dan Lagu (1976), Pendekar (1977), Ceritaku Ceritamu (1979) dan Pertarungan di Gua Siluman (1989).
6. Selain filem tempatan, beliau juga membintangi filem Thailand bertajuk Vendetta.
7. Hingga era 1980-an, Noor Azizah masih aktif dalam dunia filem dan drama di kaca televisyen. Penampilan terakhir beliau adalah sebagai artis undangan dalam filem Soal Hati arahan Othman Hafsham pada tahun 2000.
Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Datin Noor Azizah. Al-Fatihah.
Sumber: Kosmo, Astro Awani