Tidak perlu tanggung sakit selamanya, sihat semula dengan pemindahan buah pinggang
MASALAH buah pinggang atau penyakit buah pinggang kronik (CKD) semakin membimbangkan.
Menerusi perkongsian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), statistik kajian tempatan menunjukkan satu dalam tujuh (15.48 peratus) orang dewasa di negara ini mengalami penyakit buah pinggang kronik.
Laporan statistik terkini dari Malaysian Dialysis and Transplant Registry menunjukkan seramai lebih 9,500 pesakit baharu dikenal pasti perlu menjalani rawatan gantian buah pinggang (pemindahan buah pinggang atau dialisis) setiap setahun.
Menurut Pakar Perunding Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Rosnawati Yahya, lebih 50 peratus pesakit buah pinggang di Malaysia yang menjalani rawatan dialisis adalah disebabkan oleh penyakit kencing manis manakala 30 peratus disebabkan oleh penyakit darah tinggi (hipertensi).
“Penyebab lain termasuk batu karang, penyakit autoimun seperti Systemic Lupus Erythematosus (SLE), IgA nephropathy, pengambilan ubat yang tidak sesuai, serta penyakit-penyakit genetik seperti polycystic kidney disease,” ujarnya.
Seseorang pesakit itu boleh didiagnosis dengan CKD melalui dua cara:
1) Melakukan ujian darah ke atas pesakit untuk mengukur paras kreatinin. Melalui paras ini, ia akan digunakan untuk mengira Glomerular Filtration Rate (GFR), iaitu tahap fungsi buah pinggang.
Bacaan bagi tahap GFR ini seperti berikut:
-Tahap 1 : 90 dan ke atas (sihat)
-Tahap 2 : 60 hingga 89
-Tahap 3 : 46 hingga 59
-Tahap 3B : 30 hingga 45
-Tahap 4 : 15 hingga 29
-Tahap 5 : kurang daripada 15 (paling teruk)
Jika seseorang sudah mencapai tahap empat dan lima, doktor akan mula membincangkan kaedah rawatan gantian ginjal.
2) Melalui ujian air kencing bagi mengesan kebocoran protein. Kebocoran protein ini mempunyai tahap yang berbeza iaitu A1, A2, dan A3. A3 menunjukkan kebocoran tahap berat. Jika tinggi kebocoran protein dalam air kencing, maka lagi cepat buah pinggang seseorang itu akan rosak.
Penyakit buah pinggang kronik disahkan dengan melakukan ujian ini dua kali dalam tempoh selang tiga bulan. Jika kedua-dua ujian menunjukkan keputusan ketidaknormalan, barulah seseorang itu disahkan menghidap CKD. Setelah itu, doktor akan melakukan ujian-ujian lain, contohnya ultrabunyi dan sebagainya untuk menentukan penyebab CKD.
Cegah awal
Menurut Dr Rosnawati, langkah utama untuk mencegah CKD ialah dengan mencegah diabetes dan darah tinggi melalui amalan gaya hidup sihat. Ini termasuklah pengawalan pemakanan, penurunan pengambilan gula dan garam, menjaga berat badan di tahap yang optima dan kerap bersenam.
“Mereka yang mempunyai sejarah keluarga diabetes perlu lebih berhati-hati kerana mereka berisiko mendapat prediabetes sebelum menghidap diabetes sepenuhnya.
“Rawatan juga berbeza mengikut tahap pesakit. Misalnya untuk tahap 1 hingga 3B, rawatan ditumpukan dari segi memperlahankan kerosakan buah pinggang.
“Sementara itu, rawatan ubat-ubatan pula diberikan bagi mengurangkan kadar kerosakan dan membolehkan pesakit mengekalkan fungsi buah pinggang lebih lama tanpa perlu dialisis,” ujar beliau.
Oleh itu, Dr Rosnawati menyeru orang ramai terutamanya mereka yang ada penyakit kencing manis, darah tinggi, sejarah keluarga, batu karang, penyakit auto-imun untuk menjalani pemeriksaan untuk CKD kerana ia mudah, hanya memerlukan ujian darah dan air kencing sahaja.
"Pada tahap yang lebih teruk, seseorang itu mula mengalami komplikasi, contohnya kurang darah atau anemia. Pada masa ini, suntikan hormon untuk menambah darah perlu diberikan .
"Kita juga akan menjaga tulang pesakit kerana salah satu komplikasi penyakit CKD adalah masalah tulang. Kalau pesakit mengalami bengkak kaki yang menandakan air tidak boleh keluar, doktor akan bagi ubat untuk kurangkan kebengkakan tersebut," ulasnya.
Seterusnya, bagi pesakit yang sudah sampai ke tahap 5, doktor akan mula membincangkan tentang rawatan gantian ginjal. Rawatan ini bukanlah untuk menyembuhkan buah pinggang tetapi untuk menggantikan fungsi buah pinggang yang rosak.
Rawatan buah pinggang
Di Malaysia, terdapat dua jenis penderma buah pinggang, iaitu penderma hidup dan penderma yang sudah meninggal dunia (kebanyakannya mereka yang mengalami kematian otak.).Contohnya seseorang yang mengalami kemalangan menyebabkan pendarahan otak yang teruk dan otaknya mati boleh dermakan buah pinggang.
Namun, jumlah penderma sebegini di Malaysia amat sedikit iaitu tidak sampai 50 penderma dalam setahun. Jadi, hanya 100 orang sahaja yang mampu mendapatkan buah pinggang daripada penderma ini.
"Biasanya, saya akan menggalakkan keluarga pesakit menderma salah satu buah pinggang mereka sekiranya mereka sihat.
"Ini kerana pemindahan buah pinggang memberi peluang hidup yang lebih baik dan berkualiti kepada pesakit seperti kehidupan normal," jelasnya.
Selain pemindahan buah pinggang, pesakit juga boleh mendapatkan rawatan dialisis. Ia terbahagi kepada dua, iaitu hemodialisis dan dialisis peritoneal (PD).
Hemodialisis biasanya dilakukan di pusat dialisis, manakala PD adalah rawatan di rumah. Dalam pada itu, PD terbahagi kepada Automated Peritoneal Dialysis (APD) yang dilakukan pada waktu malam dengan bantuan mesin, dan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) yang memerlukan pesakit melakukan empat kali pertukaran cecair setiap hari.
Pesakit yang menjalani dialisis biasanya memerlukan ubat tambahan, termasuk suntikan untuk menambah darah. Selain itu, mereka juga perlu mengambil ubat yang dipanggil phosphate binder.
Salah satu fungsi buah pinggang adalah untuk mengeluarkan fosfat dari badan, dan apabila buah pinggang gagal, tahap fosfat boleh meningkat. Fosfat yang tinggi boleh merosakkan tulang dan saluran darah, serta meningkatkan risiko masalah jantung.
"Sebagai pakar buah pinggang, saya sering melihat pesakit yang tidak konsisten dalam pengambilan phosphate binder. Kesannya, mereka berdepan komplikasi kesihatan.
“Ada juga pesakit yang keliru mengenai keperluan kalsium. Oleh kerana phosphate binder yang digunakan kebanyakan pesakit di Malaysia adalah daripada jenis kalsium karbonat, pengambilan kalsium tambahan daripada susu atau produk tenusu sudah tidak digalakkan," ujar Dr Rosnawati.
“Pesakit boleh mendapatkan khidmat diagnostik, rawatan, susulan dan pengurusan komplikasi untuk CKD.
“Untuk pesakit tahap 5, terdapat pilihan rawatan seperti CAPD, APD, pemindahan buah pinggang, hemodialisis, dan juga hemodiafiltrasi, iaitu rawatan yang memberikan pembersihan darah yang lebih efektif berbanding hemodialisis biasa,” terang pakar itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang