MASALAH peluh berlebihan bukan sekadar ketidakselesaan biasa, tetapi ia boleh memberi impak besar kepada kualiti hidup seseorang.
Pengasas Klinik Lovina, Mej Dr Hamidah Mohd Salleh mengatakan masalah tersebut dalam bahasa saintifiknya adalah hiperhidrosis. Pun begitu, masalah ini bukanlah diagnosis, sebaliknya ia adalah simptom kepada keadaan tertentu.
"Sebagai doktor, bila pesakit datang mengadu masalah berpeluh, langkah pertama adalah untuk menentukan sama ada peluh berlebihan ini benar-benar hiperhidrosis atau hanya keadaan normal seperti berpeluh ketika cemas, menghadapi peperiksaan, atau situasi tertentu.
Itu adalah tindak balas normal tubuh dan bukan hiperhidrosis.
"Kadangkala, berpeluh boleh dikaitkan dengan masalah lain seperti penyakit kebimbangan (anxiety disorder). Jadi, doktor perlu mengesahkan perkara ini terlebih dahulu," kata beliau.
Hiperhidrosis tidak memilih umur, jantina atau bangsa. Jika ada ahli keluarga yang mempunyai penyakit ini, peluang untuk mendapatkannya lebih tinggi kerana ia mungkin melibatkan faktor genetik.
Malah, ia juga tidak berkaitan dengan faktor luaran seperti suhu panas atau aktiviti fizikal. Dalam kes ini, doktor akan menentukan sama ada ia adalah:
- Hiperhidrosis primer. Ia berlaku disebabkan oleh kelenjar peluh yang terlalu aktif.
- Hiperhidrosis sekunder. Berlaku disebabkan oleh penyakit lain, contohnya hipertiroidisme atau masalah kesihatan lain. Doktor biasanya akan melakukan ujian darah dan membuat pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar.
Dalam pada itu, pakar tersebut mengakui, kawasan peluh seseorang itu berbeza-beza. Ada yang hanya berpeluh di tapak tangan, ketiak sahaja atau gabungan kedua-duanya.
Bagi sesetengah kes, ada juga yang berpeluh di muka, kaki atau belakang badan. Namun begitu, impak daripada masalah hiperhidrosis ini, ia sedikit sebanyak mengganggu hampir semua aspek kehidupan mereka.
"Pertama, bila tangan selalu basah, ia akan menyusahkan. Contohnya, bila memegang sesuatu, ia boleh licin dan mudah jatuh. Ini menyebabkan pesakit perlu sentiasa ada kain untuk lap tangan mereka.
"Ada pula situasi lain yang beri tekanan pada mereka dari segi interaksi sosial. Contohnya, bila mahu berjabat tangan dengan orang, pesakit rasa malu dan cuba untuk elak.
Jika ada kain untuk lap tangan, mungkin mereka rasa lebih yakin, tetapi orang tetap akan nampak seperti mereka sedang cemas atau kurang keyakinan diri.
"Kesannya, pesakit boleh jadi menarik diri daripada aktiviti sosial kerana risau tangan mereka basah. Mereka bimbang jika perlu bersalam atau orang perasan masalah mereka, lalu mereka jadi kurang yakin dan lebih suka menyendiri," ujar Dr Hamidah.
Bagi pesakit yang mengalami ketiak basah, mereka berdepan dengan dua masalah utama iaitu bau badan dan sukar memilih pakaian.
Mereka tidak boleh memakai baju yang mereka suka, sebaliknya pakaian yang gelap atau menyerap peluh.
Demikian juga dengan kaki berpeluh akan meninggalkan kesan pada stoking dan mudah nampak. Ini menimbulkan rasa malu.
Terdapat juga masalah kesihatan lain seperti: Jangkitan kulit, terutamanya jangkitan kulat (fungal infection) kerana kawasan yang sentiasa lembap mudah terkena.
Jangkitan kelenjar peluh, yang boleh menyebabkan ketulan seperti bisul atau keradangan.
Kalau pesakit juga ada alahan kepada produk yang digunakan seperti deodoran, masalah itu boleh bertambah buruk.
Ramai yang menderita dalam diam kerana malu atau tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan.
Rawatan yang paling biasa atau ringkas orang ramai lakukan untuk kurangkan peluh adalah dengan sapuan bedak. Namun begitu, cara ini hanya boleh membantu jika masalah peluh itu ringan sahaja.
Rawatan botox
Walau bagaimanapun, langkah paling penting pesakit boleh lakukan adalah berjumpa dengan doktor untuk didiagnos. Cara ini boleh tahu jenis hiperhidrosis mereka.
Jika seseorang itu telah disahkan mengalami primary hiperhidrosis, salah satu rawatan popular yang boleh diambil adalah suntikan botulinum toxin, atau lebih dikenali sebagai Botox. Suntikan berkenaan membantu merehatkan kelenjar peluh, jadi pengeluaran peluh berkurang ke tahap normal.
Namun, ia bersifat sementara dan bertahan enam hingga sembilan bulan. Pesakit mungkin perlu mengulangi suntikan selepas itu. Biasanya ia dilakukan pada kawasan yang terjejas, contohnya tangan, ketiak, atau tapak kaki.
Bagi pesakit yang tidak sesuai dengannya, rawatan pembedahan boleh dipertimbangkan. Pembedahan yang paling biasa ialah endoscopic thoracic sympathectomy (ETS) iaitu saraf yang mengawal kelenjar peluh dipotong atau dilemahkan.
Kesan sampingan pembedahan ini, peluh berlebihan boleh berlaku di bahagian tubuh lain. Contohnya, pesakit yang merawat peluh di ketiak mungkin mula mengalami peluh berlebihan di bahagian belakang atau dada. Pembedahan ini biasanya dilakukan di hospital dan untuk kes yang lebih serius.
Bagi kes tertentu, doktor mungkin mencadangkan rawatan iontophoresis, iaitu terapi menggunakan arus elektrik yang lemah.
Rawatan ini membantu melemahkan kelenjar peluh dan mengurangkan pengeluaran peluh, terutamanya pada tangan dan kaki.
Pesan Dr Hamidah, jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih teruk. Jika dapati peluh berlebihan mengganggu kehidupan harian, segeralah berjumpa doktor.