'Tiada layanan istimewa buat anggota polis melanggar undang-undang' - Ketua Polis Negara

Iklan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan berlakunya ‘pilih kasih’ berhubung kes ketua balai polis yang ditahan baru-baru ini. Tiada layanan istimewa diberikan kepada pegawai yang melanggar undang-undang atau melakukan kesalahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pegawai berpangkat Inspektor yang ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Jumaat lalu, sudah direman sehari selepas didapati positif dadah.

Iklan
Iklan

Razarudin menjelaskan, pegawai terbabit masih berkhidmat dengan PDRM, namun peranannya akan dikurangkan semasa berada di Pulau Pinang sementara polis menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Tegas beliau, pihaknya juga tidak akan teragak-agak membuat pendakwaan terhadap pegawai berkenaan sekiranya mendapat arahan dari AGC untuk berbuat demikian.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan, seorang ketua balai polis ‘kantoi’ mengambil dadah ketika berhibur di pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang Jaya. Suspek ditahan ketika berhibur dan dipercayai mengambil jus disyaki mengandungi dadah di pusat hiburan itu.

Susulan penangkapan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan pegawai berusia 43 tahun itu akan berdepan tindakan tatatertib yang sedang diambil oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Iklan

Tambahnya lagi, pegawai berkenaan yang bertugas di sebuah balai polis di ibu negara sudah mendapat arahan pertukaran ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada hari yang sama dia ditahan.