DALAM suasana penuh sederhana namun sarat dengan kegembiraan, anak tiri kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Aazief Khalid selamat mengikat tali pertunangan dengan pilihan hatinya
Majlis berlangsung dalam suasana intim dan eksklusif, hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat telah menambahkan lagi nilai istimewa pada hari bersejarah tersebut.
Bagaimanapun, berita gembira tersebut turut dikongsikan oleh usahawan dan personaliti media sosial, Asyraf Khalid, yang juga abang kepada Aazief, menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya.
"Adik saya yang paling kecil dah selamat bertunang.
"Tahniah Aazief dan pasangan, semoga hubungan ini dirahmati oleh ALLAH SWT," tulis Asyraf penuh teruja.
Dalam video yang dikongsikan, Aazief tampil segak mengenakan baju Melayu Teluk Belanga lengkap berona kuning lembut, ditemani ibu tercinta, Tengku Zawyah Tengku Izham, yang tampil anggun dalam persalinan rona hijau.
Wanita bertuah yang berjaya menambat hati anak teruna Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dikenali sebagai Izza pula cukup manis dengan pilihan baju kurung tradisional lengkap berselendang.
Menambahkan lagi seri majlis, kelibat Siti Nurhaliza, atau lebih mesra disapa TokTi, yang anggun berbaju kurung rona hijau bersama suami tercinta yang mesra disapa Datuk K meraih perhatian.
Malah, momen mesra antara Tokti dan Tengku Zawyah mengundang tumpuan ramai.
Kedua-duanya kelihatan begitu selesa bersama dalam satu majlis sekali gus membuktikan keakraban dan kematangan hubungan keluarga besar mereka.