SETELAH berulang-alik ke mahkamah demi mencari titik damai, rumah tangga yang dibina penuh kasih selama lebih dua dekad antara pelakon popular era 90-an, Edika Yusof dan isterinya, Nor Hidayah Yusri akhirnya menemui noktah.
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menjadi saksi kepada lafaz cerai talak satu oleh Edika, sekitar jam 10.20 pagi di hadapan Hakim Syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh, sekali gus mengesahkan perpisahan pasangan tersebut mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayaah Persekutuan) 1984.
Sebelum ini, pelakon lelaki tersebut memaklumkan, beliau sudah bersedia untuk berpisah secara baik, selepas Nor Hidayah nekad meneruskan permohonan cerai yang difailkan awal tahun ini.
Selesai menjatuhi talak, bapa kepada sepasang cahaya mata berkenaan kelihatan sugul sementara Nor Hidayah yang berkerusi roda mengalirkan air mata sebelum keluar dari kamar mahkamah.
Edika atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Abd Majid sebelum ini menjadi inspirasi masyarakat, malah kisah pengorbanannya menjaga isteri yang lumpuh separuh badan dianggap luar biasa dan menjadi penanda aras kepada kesetiaan seorang suami.
Namun begitu, sejak beberapa bulan lalu, badai mula melanda rumah tangga mereka. Walaupun enggan mengulas secara terperinci punca perpisahan, Edika mengakui segala usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.
Untuk rekod, pasangan ini disatukan pada tahun 2003 dan dikurniakan dua cahaya mata, Fardeen Nasrulhaq serta Fereena Nurulhaq. Nor Hidayah turut mempunyai seorang anak lelaki, Nazirul Afiq hasil perkahwinan terdahulu.
Dengan lafaz cerai ini, berakhirlah sebuah kisah cinta yang pernah menjadi inspirasi dan simbol keutuhan rumahtangga buat ramai di luar sana.