POPULARITI yang dikecapi Afieq Shazwan dalam dunia seni memang tidak perlu dipertikaikan.
Sisi peribadinya yang bersahaja dan merendah diri menjadikannya antara selebriti muda yang paling disenangi ramai.
Wajah kacak bertahi lalat itu, ditambah pula dengan vokalnya yang mantap, membuatkan bekas peserta Idola Kecil ini terus kukuh sebagai penyanyi lelaki generasi baharu yang punya daya tarikan tersendiri.
Ketika ditanya tentang perkembangan terbaharunya, Afieq berkata, dia baharu sahaja merakamkan dua buah lagu yang akan dilancarkan tidak lama lagi iaitu Mendayung Rindu dan Setia Dalam Luka.
Malah, salah satu lagu tersebut merupakan karya ciptaannya sendiri dari segi lirik dan muzik, manakala satu lagi dihasilkan bersama komposer dari Indonesia.


Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Borak Bibir Merah bersama Erra Fazira anjuran SinarPlus dengan kerjasama Sedania As Salam Capital.
Program bual bicara tersebut juga turut mendapat tajaan daripada Hong Leong Islamic Bank, iOli Comms, Safi, Belantara resort, Wardah Beauty Cosmetics,UVeCARE Sunscreen, Chiq Chopz dan Marrybrown.
Walaupun ramai yang menyangka dirinya kini lebih cenderung ke arah bidang nyanyian, Afieq menegaskan masih meminati dunia lakonan dan mahu menyeimbangkan kedua-duanya.
Namun, kekangan masa membuatkan dia perlu memilih dengan lebih berhati-hati agar tidak mengganggu waktu penggambaran.
Bukan itu sahaja, tuan punya badan menolak dakwaan konon dirinya sudah tidak aktif kerana sudah tidak kerap muncul di kaca TV seperti dahulu.
Akui Afieq, dia banyak mendapat tawaran membuat persembahan di luar.
"Saya jenis yang tak suka terlalu menonjolkan diri. Tapi kalau nak tahu aktiviti saya, tengok Instagram atau TikTok, semua saya kongsikan di situ. Termasuklah tempat show atau aktiviti yang saya tengah buat,” ujar anak bongsu daripada empat beradik itu lagi.
Air tangan mak
Di sebalik jadual seni yang sibuk, jejaka yang cukup murah dengan senyuman itu mengakui lebih selesa menjalani kehidupan yang tenang, terutama apabila berada di rumah bersama ibunya.
"Ada orang pelik, kenapa saya masih duduk dengan mak? Jawapan mudah... sebab mak masak,” selorohnya bersahaja sambil ketawa.
Namun di sebalik jawapan itu, jelas terpancar kasih seorang anak lelaki yang sangat menghargai kehadiran seorang ibu.
Dedahnya, suasana di rumah membuatkan hati lebih tenang dan damai. Sementelah 'syurganya' itu bukan sekadar tempat bermanja, tetapi juga tempat meluah rasa, berkongsi cerita dan sebagainya.
Sementelah dirinya memang rapat dengan ibu kerana hanya mereka berdua di rumah memandangkan semua kakaknya sudahpun mendirikan rumah tangga.
Sebagai anak lelaki tunggal, Afieq berasa bertanggungjawab untuk menjaga ibu sebaik mungkin, selagi belum mendirikan rumah tangga.
Ditanya kenapa tidak memilih duduk sendiri atas nama berdikari, jujur pemilik nama sebenar, Mohammad Shafieq Shazwan Zamros memberitahu, dirinya sudah pun melalui fasa tersebut sebelum ini.
"Saya dah lalui fasa hidup berdikari dan tinggal sendiri ketika umur 18 tahun dulu. Justeru sekarang, saya lebih hargai masa dengan mak pula,” ujarnya.
Menyentuh tentang perihal jodoh, pelantun lagu Lelaki Di Telefon yang kini berusia 28 tahun itu tidak menafikan, ramai yang bertanya bila dirinya akan berkahwin.
Namun bagi empunya diri, soal itu tidak perlu tergesa-gesa.
"Ramai tanya bila nak kahwin. Saya okay je, cuma buat masa sekarang belum sampai masanya untuk berbuat demikian. Saya mahu pastikan mak okay dulu, baru fikirkan hal lain pula.
"Bila dah kahwin nanti, fokus saya akan beralih kepada isteri pula. Jadi, inilah masa saya nak all out untuk mak,” ujarnya sambil tertawa.
Kongsi anak jati Klang, Selangor itu lagi, ini adalah saat paling berharga kerana tidak semua orang berpeluang menikmati momen manis bersama ibu.
"Lagipun zaman lepak malam-malam tu sudah lepas. Kalau keluar pun, sekejap sahaja. Saya lebih suka duduk rumah, layan mak masak, tengok TV sama-sama,” kongsinya.
Tidak sekadar menjadi peneman di rumah, Afieq juga tidak kekok turun ke pasar bersama ibunya. Bahkan, sebelum dirinya keluar rumah atas urusan kerja, dia akan memastikan segala keperluan ibu lengkap tersedia.
"Apa yang lebih utama sekarang ialah memastikan mak berada dalam keadaan baik dan bahagia sebelum saya melangkah ke fasa seterusnya dalam hidup.
"Sejak dulu lagi, jika sedih atau stres, mak yang saya cari dulu. Dia tahu macam mana nak tenangkan saya. Slow talk dia tu selalu buat saya rasa kuat semula.
"Bila balik rumah dan tengok ada lauk kegemaran, terus hilang penat. Air tangan mak antara nikmat dunia yang saya tak nak lepaskan,” katanya dengan senyuman yang penuh makna.