Sedang dalam pusingan tawaf sunat kelima, seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci

Iklan

BERITA duka menyelubungi jemaah haji Malaysia di Tanah Suci apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia di Tanah Suci akibat serangan jantung.

Khabar sedih itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menerusi laman sosial Facebook.

Iklan
Iklan

"Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Abdullah Bin Mat, jemaah haji Malaysia dari Pasir Mas, Kelantan yang telah kembali ke rahmatullah di Tanah Suci pada pagi 19 Mei 2025 akibat serangan jantung.

"Jemaah dari Maktab 89A yang menginap di Abraj al Janadriyah. Arwah ditemani isterinya, Sarifah Hassan sepanjang tempoh perjalanan haji ini," titipnya.

Iklan

Dalam masa yang sama, Mohd Na'im berkata, pihak Tabung Haji akan menguruskan pelaksanaan badal haji untuk Allahyarham dan urusan berkaitan lain akan disempurnakan dengan sebaiknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

Iklan

Beliau turut menitipkan doa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

Sementara itu, dalam satu hantaran Facebook Masjid Kasar Mukim Pasir Mas ada memuat naik kisah Allahyarham Abdullah.

Dalam perkongsian tersebut, arwah yang dikenali sebagai Che Loh Juru Ukur berasal dari Kampung Landar, Jalan Slow Machang, Pasir Mas meninggal dunia pada 4.17 pagi waktu tempatan.

Jenazah Allahyarham difahamkan akan dikebumikan di Makkah.

"Ya ALLAH, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, ampunilah kesalahannya, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarga.

"Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

"Nota: Jemaah haji 1446H dan sedang dalam pusingan tawaf sunat kelima," kongsinya.

Artikel berkaitan:

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, NmRazif NHashim mendedahkan Allahyarham merupakan rakan sekerja yang ringan tulang.

"Al-Fatihah buat Abe Loh. Arwah dikhabarkan rebah ketika sedang tawaf di hadapan Kaabah. Arwah ke Makkah untuk mengerjakan haji bersama isteri.

"Arwah merupakan rakan sepejabat dan banyak menceriakan kami keluarga besar di jabatan.

"Tidak lokek membantu dan disayangi ramai. Kami merinduimu dan kematianmu dicemburui.

"Mohon rakan-rakan dan yang tidak mengenali Allahyarham sama-sama sedekahkan Al-Fatihah. Salam Takziah buat seluruh seisi keluarga Abe Loh," titipnya.

Terdahulu, pada 16 Mei lalu, negara menerima berita kematian seorang jemaah dari Johor yang juga Jemaah dalam Rombongan Haji Kerajaan Johor (RKJ), Allahyarham Norizah Tambunan Nordin akibat serangan jantung ketika berada di dalam Masjidil Haram.

Allahyarham Norizah yang tidak sempat untuk menunaikan umrah wajib dibawa ke klinik berdekatan, kemudian ke Hospital Jiwar, dan menghembuskan nafas terakhir di hospital tersebut.