'Al-Fatihah sayang.' Jemaah haji kongsi catatan pilu isteri meninggal dunia kerana pendarahan otak 4 hari sebelum wukuf
TAKZIAH buat keluarga jemaah haji wanita Malaysia, Zuraida Mohd Haris, 37, dari Ampang, Selangor yang menghembuskan nafas terakhirnya Isnin lalu.
Lebih menyentuh hati, pemergian Allahyarham pada saat berbaki empat hari sebelum berwukuf pada 9 Zulhijjah (15 Jun).
Pemergian Zuraida dikongsikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar yang memaklumkan punca kematian Zuraida adalah disebabkan pendarahan otak pada sebelah kanan.
"Allahyarham sebelum itu mendapatkan rawatan selama enam hari dan meninggal dunia pada 10 Jun (Isnin), jam 8.15 malam di Hospital King Abdul Aziz di Makkah," katanya.
Waris kepada Zuraida iaitu suaminya, Mohd Azmil Abdul Hanid yang juga jemaah haji sayu berkongsi kembalinya isteri tersayang ke rahmatullah.
"Pemergian isteri saya lihat dari awal hingga akhir, mulianya kematian isteri saya. Al-Fatihah sayang," titipnya di Facebook.
Berkongsi keadaan Zuraida kepada rakan-rakan di Facebook, Mohd Azmil mendoakan permaisuri hatinya dikurniakan husnul khatimah. Berikut kronologinya:
-27 Mei - arwah dan suami, tiba di Makkah untuk ibadah umrah dan haji.
6 Jun - Arwah jatuh sakit dan koma di Hospital King Abdul Aziz, Makkah.
9 hingga 10 Jun - Doktor memaklumkan kesihatan arwah semakin merosot.
11 Jun - Arwah pulang ke rahmatullah.
Lelaki itu memaklumkan solat jenazah arwah diimamkan oleh Imam Masjidil Haram selepas solat Subuh dan dikebumikan di Perkuburan Syuhada Al-Haram Blok 11 Lot 414.
Dalam pada itu, ahli keluarga, Noor Izzati Abdul Hanid memohon warganet menyedekahkan al-Fatihah buat kakak iparnya.
"Insya-ALLAH khusnul khatimah buat arwah. Perginya di bumi barakah saat niat menunaikan ibadah haji.
"Arwah antara insan bertuah terpilih oleh ALLAH di Makkah tatkala jutaan umat Islam ingin wafat di sana," kongsinya.
Empat kematian jemaah haji negara sebelum ini ialah Abnil Hajar Ismail, 72, dari Kedah yang meninggal dunia pada 24 Mei lepas.
Manakala, pada 29 Mei lepas, kematian kedua menimpa Mohd Zahir Ismail, 58, yang menghembuskan nafas terakhir semasa tawaf umrah pertama akibat diserang sakit jantung.
Pada 7 Jun lalu, dua lagi jemaah Malaysia meninggal dunia ialah Ghazali Ahmad, 71, dari Kedah, dan Noormadiah Mat Ali, 53, dari Terengganu.
Punca kematian mereka masing-masing adalah disebabkan kegagalan buah pinggang dan sumbatan pembuluh darah di perut serta jangkitan kuman pada paru-paru.
Kedua-dua mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Shuhada Al-Haram dan Tanah Perkuburan Sharayaa, Makkah.
Untuk rekod, kuota jemaah haji Malaysia pada tahun ini yang diberikan Arab Saudi ialah seramai 31,600 orang dan kesemuanya kini berada di Makkah dan bersiap-sedia untuk berwukuf.
Wukuf di Arafah Sabtu ini adalah kemuncak musim panas di Arab Saudi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang