'Paling sayang, Abe Wee bukan lagi milik saya seorang...' Mek Yun sebak abang berkahwin, imbas momen sejak kecil

Iklan

KEAKRABAN hubungan adik-beradik antara pempengaruh Mek Yun dan abang-abangnya memang sangat memberi inspirasi.

Mereka sangat rapat, namun Mek Yun atau nama penuhnya Wee Yun Nee terpaksa melepaskan abang keduanya, Wee Chuan Chin, untuk menamatkan zaman bujang.

Iklan
Iklan

Mek Yun, 28, menerusi Instagram memuat naik video momen perkahwinan Abe Wee yang diraikan dengan meriah.

Iklan

"Hari ini antara hari yang paling emosional bagi Mek Yun sebab abang yang paling Mek Yun sayang, yang menjaga dari kecil, Abe Wee nak kahwin hari ini.

"Selama ini Abe Wee lah yang jaga Mek Yun. Tak pernah sekali biar Mek Yun seorang diri," tutur Mek Yun.

Iklan

Dalam hantaran sama, wanita yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan dialek Kelantan itu menzahirkan rasa pilu menerima kenyataan kasih sayang abangnya itu kini perlu dikongsi.

"Dear Abe Wee, hari ni hati Mek Yun penuh dengan macam-macam rasa. Gembira sebab Abe Wee sudah jumpa cinta hidup Abe Wee. Sebak sebab lepas ni Abe Wee bukan milik kami seorang lagi.

"Sejak dari kecil, Abe Wee lah dunia Mek Yun. Kalau terjatuh, Abe Wee yang datang angkat.

"Kalau takut, Abe Wee yang peluk kuat-kuat. Kalau nangis, Abe Wee yang tenangkan. Tak pernah satu hari pun Mek Yun rasa seorang sebab Abe Wee selalu ada," titipnya.

Dalam masa yang sama, wanita berdarah kacukan Tionghua dan Thai tersebut juga berasa lega melepaskan Abe Wee kepada pasangan yang tepat.

"Abe Wee kahwin dengan orang yang baik, lembut dan penyayang. Mek Yun tahu dia akan jaga Abe Wee dengan baik. Dan itu satu-satunya sebab Mek Yun mampu lepaskan dengan senyuman.

"Mek Yun doakan Abe Wee dan isteri akan kekal bahagia selama-lamanya. Terima kasih untuk semua tahun yang Abe Wee sudah berikan kepada Mek Yun.

"Tak semua orang bertuah ada abang macam Abe Wee. Dan Mek Yun antara yang paling bertuah itu.

"Dan tidak kira ke mana kehidupan bawa kita selepas ini, Abe Wee akan sentiasa menjadi rumah buat saya," kongsinya.

Warganet menitipkan ucapan tahniah buat Abe Wee. Tidak ketinggalan, ramai yang mengakui memahami perasaan sayu Mek Yun melepaskan abang mendirikan rumah tangga. Ujar mereka;

"Full of love. Mek Yun pagi hari buat saya berair mata. Tahniah Abe Wee!"

"Saya sekali mengalir air mata, dapat rasa keakraban adik-beradik dalam keluarga Mek Yun. Semoga terus kekal bahagia selalu Mek Yun, Abe Wee dan famili."

"Comel sangat keluarga ini, saya sekali menangis."

Sekadar info, selain Abe Wee, Mek Yun yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda jurusan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu juga memiliki dua orang lagi abang iaitu Abe Jay dan Abe Ming.

Kefasihan keluarga Mek Yun berbahasa Melayu dan dialek Kelantan didorong oleh persekitaran.

Bertutur dalam bahasa kebangsaan sejak kecil lagi kerana bersekolah di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan, Mek Yun juga memaklumkan kedua orang tuanya berasal dari Kelantan.

Sumber: Instagram