PEMANDU bas yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak sehingga mengorbankan 15 pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mendapat kecaman ramai.
Berbeza pendirian dengan netizen, bapa kepada salah seorang mangsa, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, iaitu Halim Sidik, 58, menjadi perhatian apabila memilih untuk memaafkan pemandu bas tersebut.
Kepada Sinar Harian, Halim sebak meluahkan reda dengan ketentuan ALLAH.
"Takdir yang ALLAH tentukan, semuanya (yang berlaku) telah tertulis dan kami reda. Tiada dendam terhadap dia.
"Kami tiada dendam kepada pemandu bas yang dihebohkan," kongsinya.
Dalam pada itu, Halim yang ditemui di rumahnya di Kampung Pangkalan Cina, Bachok, Kelantan mengulas permohonan maaf yang dinyatakan pemandu bas semalam dan menyatakan pendirian memaafkan lelaki itu.
"Kita selesaikan masalah kita. Anak saya pun pergi dengan baik, semoga syurga buatnya
"Saya fikir pemandu pun ada keluarga, dia juga tidak berniat untuk membawa laju. Soal maaf, biarlah dia pohon kepada Tuhan,” katanya.
Terdahulu pemandu berkenaa, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle memohon maaf dan menyatakan brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba sebagai punca kemalangan.
Dia malah berusaha menghindari kemalangan dengan mengelak empat buah kenderaan termasuk lori namun disebabkan angin bas kosong, semuanya jadi tidak berfungsi termasuk brek tangan manakala gear juga tidak boleh ditukar.
Mohd Amirul juga berkata telah menjerit memberi arahan untuk berjaga-jaga kepada pelajar sebelum kemalangan ngeri itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tindakan pemandu berkenaan yang memberikan kenyataan terbuka boleh mengganggu siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.
"Tindakan yang dilakukan oleh pemandu berkenaan boleh menimbulkan pelbagai spekulasi lain kepada masyarakat dan siasatan yang dijalankan ini juga mengambil kira pelbagai aspek.
"Walaupun negara ini membenarkan kebebasan bersuara, namun saya minta dia bersabar sehingga tiba gilirannya untuk memberikan keterangan,” katanya pada sidang media.
Noor Hisam berkata, pihak polis buat masa ini akan mengambil keterangan daripada pemandu berkenaan selepas lelaki itu selesai menjalani rawatan di hospital.
"Perkara (rawatan) ini kita serahkan kepada pihak hospital, pegawai kita juga sentiasa memantau perkembangan pemandu berkenaan dari semasa ke semasa sebelum sebarang tindakan susulan diambil,” katanya.
Setakat ini 18 saksi telah diambil keterangan iaitu melibatkan beberapa pihak termasuk pelajar UPSI yang terlibat dalam kemalangan itu.
"Kita juga menjalankan siasatan terperinci melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Kimia Malaysia Perak, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer dan sebagainya untuk memastikan punca sebenar kemalangan berlaku,” katanya.
Difahamkan, rakaman video kamera papan pemuka kejadian itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Bukit Aman untuk dianalisis.
Sumber: Sinar Harian, Bernama