Imam dedah ibu bapa Nurly Sahirah istiqamah al-Quran, abang hafiz 30 juzuk. 'Contoh didikan wajar diteladani'

Iklan

 

RAMAI masih terkesan dengan pemergian 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) termasuk bakal guru Pendidikan Khas yang juga hafizah al-Quran, Nurly Sahirah Azman sementelah cara pemergian mulianya.

Iklan
Iklan

Abang Allahyarham, Mohd Najmuddin Azman, 28, dalam temu ramah bersama Bernama mendedahkan, walaupun selepas seminggu pemergian Allahyarham, rumah keluarga mereka setiap hari menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai latar belakang dan dari segenap pelosok negara yang kebanyakannya ingin melihat sendiri naskhah al-Quran lengkap hasil tulisan tangan adik perempuannya.

Bagaimana acuan begitulah kuihnya, rupa-rupanya keluarga Allahyarham mencintai al-Quran.

Iklan

Seorang warga maya dikenali sebagai Kailani Zahari berkongsi ibu bapa Allahyarham yang dikatakan 'dekat' dengan agama.

"Saya mula kenal ayah dan ibunya sejak tahun 2019, ketika saya bertugas sebagai imam di Masjid Kampung Gong Pasir.

Iklan

"Ayahnya Haji Azman, saya panggil Abang Man, seorang yang sentiasa istiqamah berjemaah lima waktu di masjid. Datanglah waktu mana pun, insya-ALLAH dia pasti ada.

"Ayah dan ibunya sangat mengambil berat tentang al-Quran. Saya ketika itu ditugaskan mengendalikan kelas pengajian al-Quran untuk jemaah lelaki dan wanita. Ayah dan ibu Nurly antara yang paling konsisten hadir, tidak pernah tinggal pengajian.

"Hingga sekarang, kelas al-Quran untuk wanita masih berjalan dan ibunya salah seorang yang masih istiqamah mengikuti pengajian.

"Dua insan ni wajar dijadikan contoh, cinta al-Quran, istiqamah dengan al-Quran, dan didik anak-anak dengan al-Quran. Mereka sendiri yang menjadi contoh untuk anak-anak. Abang kepada Nurly, Najmuddin Azman juga seorang hafiz al-Quran," titipnya.

Dalam pada itu, Kailani Zahari juga berkongsi keadaan jenazah Nurly Sahirah yang memeluk al-Quran menggambarkan Allahyarham sentiasa berdamping dengan kitab suci itu semasa hayatnya.

"Semalam saya ziarah rumahnya. Antara yang diceritakan, dia (Nurly Sahirah) meninggal dalam keadaan peluk al-Quran, petugas terpaksa buka genggaman dia untuk ambil al-Quran daripadanya.

"Masya-ALLAH, pengakhirannya. Hafal 30 juzuk, tulis tangan 30 juzuk dan sentiasa istiqamah baca serta ulang al-Quran. Hujung hayat mendakap al-Quran.

"Rempuhan kuat dan penghadang jalan menembusi bas, secara logiknya semua akan tercampak dan semua benda akan terlepas dari genggaman. Bagaimana al-Quran masih di dalam dakapannya?" titip beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi warga maya, pengguna Facebook Ahmad Nazrul berkongsi sempat menziarahi keluarga Allahyarham sempat berkongsi ucapan si bapa yang begitu dalam maksudnya.

"Saya bertemu dengan Abang Man, ayah Allahyarham Nurly Sahirah. Rumah kami dekat sahaja, kampung bersebelahan.

"Satu ayat Abang Man yang menyentuh perasaan saya dan buat saya berfikir. Katanya;

"Anak Abang Man, Nurly Sahirah ni Abang Man hantar dia naik bas semua"pakaian" dia dah siap.

"Kalau dia pergi mana selama sebulan pun, semua sudah cukup untuk diri dia sendiri.

"Sebab itu Abang Man dan isteri reda dengan pemergiannya," kongsinya.

"Aku renung kata-kata Abang Man dan fikir sedalam-dalamnya. Ya, beliau sudah berjaya didik anaknya.

"Pendidikan yang diberi, cukup. Hafizah Quran, 30 juzuk dalam diri. Pakaiannya seharian menutup aurat. Solatnya terjaga.

"Setiap hari berdamping dengan Al Quran. Mulutnya tidak bercakap perkara yang sia-sia. Cukup disenangi oleh semua ahli keluarganya.

Dalam pada itu, beliau juga sempat mengagumi didikan diberikan ibu bapa Nurly Sahirah dan berpendapat ia wajar dijadikan contoh.

"Kita yang masih ada anak, didiklah dengan baik. Berikan pelajaran kepadanya. Jangan sesekali abaikan mereka.

"Sebagai ibu bapa, tidak boleh biarkan anak bebas buat apa-apa sahaja tanpa pemantauan. Kematian yang menghidupkan," kongsinya

Imbas kembali tragedi pada 9 Jun lalu, Nurly Sahirah meninggal dunia dalam nahas melibatkan sebuah bas di di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik Perak.

Jenazah Nurly Sahirah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Pasir, Jerteh pada 4 pagi, Selasa selepas disolatkan bersama 12 lagi jenazah pelajar UPSI lain oleh kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Hadhari, Jerteh.

Laporan awal siasatan terhadap kemalangan mendapati tiada bukti kegagalan sistem mekanikal pada bas berkenaan. Malah keadaan fizikal brek bas, kesemua pelapik brek dan dram brek bagi semua gandar masih berada di dalam keadaan yang memuaskan.

Difahamkan, pemandu bas berkenaan Mohd Amirul Fadhil Zulkifli mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta satu lagi pertuduhan dan dibebaskan selepas membayar jaminan RM19,000 dengan dua penjamin.

Mahkamah menetapkan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, tidak mengganggu mangsa dan saksi, serta menggantung semua kelas lesen memandu sehingga keputusan dibuat. Sebutan semula kes dijadualkan pada 14 Julai 2025.

Sumber: Facebook 1, 2