‘Ingatkan scammer, rupanya betul’ - Peniaga live tengah malam, tak sangka Zizan masuk dan sedekah

Iklan

 

SIAPA sangka, siaran langsung yang hanya ditonton oleh segelintir orang pada jam 2 pagi boleh menjadi detik paling bermakna buat seorang peniaga kecil.

Iklan
Iklan

Menerusi perkongsian yang dibuat di aplikasi Threads, Arinah Ahmad berkata, dia tidak menjangkakan kehadiran pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak yang tampil menyokong perniagaan kek lapis diusahakannya.

Iklan

Menurutnya, dia terkejut apabila selebriti itu secara tiba-tiba muncul dalam sesi siaran langsung berkenaan dan menyangka ia hanya akaun palsu.

“Semalam saya melapis lewat malam sebab anak tidur lewat. Sambil melapis, saya buat live TikTok. Tak meriah pun, dalam lapan ke 10 orang. Dalam jam 2 pagi, tiba-tiba Zizan Razak masuk dalam live dan komen ‘Hai, sale berapa hari ni?’

Iklan

“Saya baca tapi memang 100 peratus ingat fake akaun. Saya bagitahu tak banyak mana, dalam ratus-ratus je, tak cecah ribu untuk hari ni. Kalau TikTok, saya baru join seminggu lebih, jadi memang tak banyak sale lagi.

“Zizan kemudian minta nombor akaun nak support, saya macam eh sahih dah ni fake tapi saya layan saja sebab mengantuk. Habis live, Zizan chat lagi minta nombor akaun atau QR,” katanya.

Bagaimanapun, Arinah terkejut apabila menerima notifikasi pemindahan wang daripada akaun bank atas nama Mohd Zizan Bin Razak selepas memberikan QR bank seperti yang diminta.

“Dia cakap terharu tengok orang kerja sampai lewat malam, sebab tu nak support. Terima kasih katanya sebab izinkan dia bersedekah kerana ALLAH.

“Sekarang saya nak cari surau atau masjid yang ada event ke untuk saya salurkan sumbangan dari Encik Zizan Bin Razak ni,” ujarnya.

Tindakan Zizan ini memberi inspirasi kepada seluruh masyarakat bahawa kebaikan boleh hadir pada bila-bila masa, bahkan dalam keadaan yang paling tidak disangka.