SOSOK kecil, tapi semangat luar biasa. Itulah Christy Ng, usahawan wanita berpengaruh dalam dunia fesyen tempatan.
Anak jati Kluang, Johor itu cukup sinonim dengan jenama Christy Ng Shoes yang kini gah di Malaysia, Singapura, Filipina dan Brunei.
Walaupun berkelulusan Bioteknologi dan Sains Hayat, minat mendalam terhadap rekaan fesyen mendorong wanita cantik manis itu memulakan perniagaan kecil-kecilan di pasar malam.
Kini, bukan sahaja pengasas dan pereka, malah usahawan berjaya yang membina empayar kasut dan beg tangan berkualiti dengan harga berpatutan.
Christy membuktikan bahawa kejayaan tidak hadir sekelip mata. Dengan kerja keras dan konsistensi, beliau menerima pelbagai anugerah termasuk The Best Rising Star Fashion (TikTok Shop 2023), ShopBack Best Retail Rockstar 2023 dan SEBA Youth Icon 2019.
Dari tapak kecil pasar malam sehingga membawa kepada jenama besar, kisah anak sulung daripada dua beradik itu menjadi inspirasi ramai yang mana impian mampu direalisasikan, asalkan berani bermula dan terus melangkah.
Nak tahu kisah penghias muka hadapan SinarPlus itu, ayuh baca perkongsiannya baru-baru ini.
Sejak lebih sedekad lalu, jenama Christy Ng sudah cukup dikenali dalam kalangan pencinta fesyen tempatan. Reka bentuk kasut dan beg tangan yang ditawarkan bukan sahaja menarik dan berkualiti, malah mesra poket.
Sesuai dengan cita rasa ramai, jenama ini berjaya menambat hati pengguna daripada pelbagai latar belakang.
Namun, sejak kebelakangan ini, nama Christy Ng bukan sekadar disebut kerana produknya.
Ramai mula mengenali sisi berbeza jenama ini menerusi video-video santai dari pejabat mereka yang sering tular di media sosial.
Dalam temu bual bersama penulis, pengasasnya sendiri mengakui semua video itu dihasilkan secara spontan tanpa skrip, tanpa kamera mahal dan tanpa perancangan pemasaran yang kompleks.
Apa yang dirakam hanyalah gelagat sebenar warga kerja mereka yang gemar bergurau dan menceriakan suasana pejabat.
“Kami memang jenis suka bergurau di ofis. Apa yang anda nampak dalam video, itulah yang sebenar.
“Sebenarnya kami cuma nak kongsi gelak tawa, jenaka dalaman dan humor dengan orang lain. Tak sangka ramai pula yang suka,” ungkap Christy kepada penulis apabila persoalan tersebut diajukan kepadanya.
Namun, di sebalik suasana santai dan penuh jenaka itu, tersimpan satu kisah perjuangan yang panjang dan tidak mudah.
Christy mengorak langkah dalam dunia perniagaan kerana minat yang mendalam terhadap kasut dan beg tangan. Demi mengejar impian, beliau sanggup keluar dari zon selesa dan menempuh pelbagai risiko.
Sejak usia sembilan tahun lagi, beliau sudah menunjukkan kecenderungan untuk berniaga, dan walaupun berkelulusan dalam bidang bioteknologi dan sains hayat, minat terhadap fesyen membawanya memulakan
VISI DAN MISI
Kini, beliau bukan sahaja seorang pengasas dan pereka, tetapi juga seorang usahawan berjaya yang telah membina empayar sendiri.
Jenama Christy Ng bukan sekadar menjual produk, tetapi membawa satu prinsip yang konsisten sejak hari pertama, iaitu menghasilkan barangan berkualiti tinggi yang masih mampu dimiliki oleh kebanyakan orang.
“Saya berpegang kepada prinsip 'harga berjiwa rakyat' dan itulah yang menjadi asas kepada segala keputusan perniagaan ini.
“Pada masa sama, saya percaya produk fesyen tak perlu mahal untuk kelihatan cantik. Apa yang penting adalah fungsinya dan ia mampu dimiliki.
“Sepanjang perjalanan ini, memang banyak cabaran. Tak ada jalan pintas. Tapi kalau kita ada semangat juang, kesungguhan dan konsisten, pasti boleh capai apa yang kita nak,” ujarnya dengan nada positif.
Salah satu faktor yang melonjakkan lagi jenama ini ialah penggunaan media sosial yang bijak.
Christy percaya bahawa media sosial bukan sekadar tempat promosi, sebaliknya satu medium untuk membina hubungan dua hala dengan pelanggan.
Dengan pendekatan yang lebih ‘real’, mereka berjaya menarik perhatian pengguna yang menghargai kejujuran dan keaslian sesuatu jenama.
“Saya juga percaya, jika semua orang dalam pasukan ada visi dan impian yang sama, segalanya jadi lebih mudah. Kita semua kejar benda yang sama.
“Minat yang tulus akan membawa kepada semangat kerja yang luar biasa.
“Malah, jika kita suka dengan apa yang dilakukan, maka itu yang kita buat dengan hati, dan itulah yang membezakan hasilnya,” tambah beliau lagi.
Kekangan masa kerana sibuk dengan urusan syarikat tidak membataskan Christy dalam memastikan kehidupan peribadinya tidak terabai.
Beliau mengakui cukup gemar melakukan perkara-perkara ringkas yang membahagiakan selepas waktu kerja.
“Saya ni biasa-biasa je. Habis kerja, saya suka keluar jalan-jalan, cuba restoran baharu ataupun bermain pickleball,” ujarnya lagi.