Lebih 8000 kanak-kanak meriahkan karnival sukan di MAEPS Serdang, satukan ibu bapa dan komuniti

Iklan

SUASANA yang penuh ceria, warna-warni dan gelak tawa menjadi saksi kepada sebuah acara yang menyatukan anak-anak kecil dari pelbagai pusat pendidikan sekitar Lembah Klang, Nilai dan Melaka.

Lebih 8,000 kanak-kanak berusia 1 hingga 6 tahun termasuk kanak-kanak berkeperluan khas berkumpul di MAEPS Serdang baru-baru ini bagi memeriahkan Karnival Sukan Al Kauthar Eduqids 2025.

Iklan
Iklan

Acara tersebut merupakan inisiatif kolaboratif bersama Majalah Pa&Ma yang menyemarakkan semangat kesukanan sejak kecil, membina keyakinan diri serta menyokong perkembangan fizikal dan sosial kanak-kanak.

Iklan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Al Kauthar Eduqids, Datuk Bakhtiar Aliff Ibrahim, apa yang menjadikannya lebih istimewa, karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran watak kartun popular kegemaran ramai, Didi & Friends.

Menambah tarikan, sesi penceritaan atau story telling yang dianjurkan bersama pasukan kreatif Warnakala bukan sahaja menghiburkan, malah mencipta sejarah apabila mencatat rekod penyertaan terbesar dalam Malaysian Book of Records bagi kategori penyertaan kanak-kanak paling ramai dalam sesi penceritaan.

Iklan

ELEMEN PENDIDIKAN

Dari sudut pembangunan anak-anak pula, pelbagai aktiviti sukan disusun rapi dan direka khas untuk merangsang kemahiran motor kasar, kerja berpasukan serta nilai murni.

Antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah sukaneka mini, senam Zumba Sarung, persembahan nyanyian daripada Bintang Kecil, tayangan filem, serta pelbagai gerai jualan mesra keluarga yang menyerikan lagi suasana.

Karnival ini juga diserikan dengan kehadiran pelajar dari University College MAIWP International (UCMI) yang turut serta membantu dalam mengendalikan aktiviti interaktif.

Keterlibatan mahasiswa itu bukan sahaja menambah elemen pendidikan dan keseronokan, malah memberi pendedahan kepada mereka tentang dunia pendidikan awal kanak-kanak secara langsung.

Malah, karnival berkenaan dilihat bukan sekadar untuk berseronok, sebaliknya menjadi platform penting dalam membina hubungan antara pendidik, ibu bapa dan komuniti.