Rakaman suara arwah Zara Qairina undang air mata. 'I love you, Zara sayang mama, cinta, rindu...'

Iklan

PEMERGIAN pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina terus meruntun hati rakyat Malaysia. Suara gadis kecil itu meresap ke dasar hati dan cukup untuk membuat sesiapa sahaja menitiskan air mata.

Dalam rakaman ringkas berdurasi 59 saat, arwah Zara Qairina kedengaran mengungkap kata-kata penuh kasih kepada ibunya: “I love you, Zara sayang mama, cinta, rindu…”

Iklan
Iklan

Perkongsian daripada penceramah bebas, Ustazah Marhamah Rosli dibanjiri luahan pilu dan simpati daripada warganet yang turut tersentuh dengan keikhlasan remaja yang kini telah pergi buat selama-lamanya.

Dalam hantaran di Facebook, Marhamah menjelaskan audio tersebut dimuat naik dengan keizinan ibu arwah Zara, Noraidah Lamat, 45, sebagai tanda bukti kasih yang tak terungkap antara seorang ibu dan anak tunggalnya.

Iklan

"Itulah suara arwah Zara dalam rakaman panggilan telefon kepada ibunya… Rakaman ini disimpan kemas, kenangan terakhir.

Iklan

Bagaimanapun, di sebalik simpati dan doa yang tidak putus, terdapat suara-suara sumbang yang menimbulkan tuduhan tidak berasas terhadap keluarga arwah.

Antara dakwaan yang tersebar secara melulu termasuklah kononnya Zara memendam rasa terhadap ibunya. Ia satu andaian yang sama sekali bercanggah dengan kasih tulus yang jelas terakam dalam bait-bait akhir suaranya.

"Begitu mudah lidah manusia membuat kesimpulan. Begitu ringan menuduh, sedang yang difitnah sudah tidak mampu lagi membela diri," luah Marhamah.

Pendakwah itu turut menjelaskan bahawa pendedahan rakaman tersebut bukanlah untuk meraih simpati, apatah lagi memenangi apa-apa perdebatan.

Sebaliknya, ia dizahirkan sebagai suara kebenaran,  satu sisi yang tidak sempat disampaikan sendiri oleh arwah Zara, namun cukup untuk menyentuh hati mereka yang sudi mendengar dengan jiwa terbuka.

Malah, katanya lagi, kebencian tidak seharusnya dijadikan pelindung untuk menutup kesalahan diri.

"Zara sudah tiada, tetapi maruahnya masih perlu kita pertahankan," ujarnya.

"Kita sangka kita sedang menjatuhkan orang… rupanya kita sedang menggali lubang untuk diri sendiri. Di mana hilangnya simpati? Ke mana tenggelamnya empati? Mempertahankan diri dengan menumbuhkan benci," luahnya penuh kesal.

Terdahulu, Zara disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dalam keadaan parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Papar, Sabah.

Kes Zara masih disiasat pihak berkuasa.

Pemergiannya mencetuskan gelombang kesedihan dan kemarahan dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila pelbagai spekulasi mula bertebaran di media sosial termasuk dakwaan yang mengaitkan nama bekas pengetua.

Tanda pagar #JusticeForZara terus digunakan oleh netizen sebagai solidariti menuntut kebenaran buat arwah, yang kisah pemergiannya masih menyentak nurani rakyat Malaysia.

Sumber: Facebook