MASALAH pendarahan dalam otak sering dikaitkan dengan warga emas atau mereka yang menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi. Namun, tidak ramai sedar bahawa wanita hamil juga tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.
Dalam masyarakat, isu ini jarang diberi perhatian serius. Gejala seperti sakit kepala yang teruk sering dianggap sebagai migrain biasa, menyebabkan rawatan ditangguh dan risiko menjadi lebih kritikal.
Situasi ini turut menimpa Ain Farhana Mohd Fadzli, 27, yang meninggal dunia akibat pendarahan otak tidak lama selepas melahirkan anak kedua di Hospital Shah Alam, baru-baru ini.
Menurut suaminya, Khairul Azhar Jainal Abidin, 27, isterinya sebelum ini pernah mengadu sakit kepala yang disangka migrain. Namun, rawatan imbasan tomografi berkomputer tidak sempat dilakukan selepas disahkan hamil.
“Sepanjang sembilan bulan kandungan anak kedua ini, rekod perubatan isteri tiada sebarang masalah. Sepatutnya dia bersalin pada 17 Julai, tetapi pada 11 Julai, dia mengadu pening kepala.
“Keesokan hari, saya bawa ke klinik dan doktor hanya beri rawatan biasa. Petangnya, dia sekali lagi mengadu sakit kepala sebelum tiba-tiba diserang sawan. Ambulans datang dan membawanya ke hospital terdekat. Pegawai perubatan maklumkan tekanan darah isteri tinggi,” katanya.
Disebabkan keadaan tersebut, doktor pakar memohon keizinan untuk melakukan pembedahan kecemasan bagi menyelamatkan bayi.
Selepas sejam, bayi mereka selamat dilahirkan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), manakala Ain Farhana dimasukkan ke Unit Rawatan Separa Rapi (HDU).
“Saya sempat jumpa isteri dan kami berbual seperti biasa. Tekanan darahnya juga sudah normal. Namun, doktor maklumkan keputusan imbasan menunjukkan saluran darah di kepala telah bengkak dan dia mengalami eklampsia.
“Doktor juga rancang untuk memindahkan isteri ke Hospital Sungai Buloh, tapi dia diserang sawan sekali lagi semasa dalam wad,” ujarnya.
Walaupun pembedahan dilakukan untuk membuang darah dalam kepala, keadaannya kekal kritikal dan Ain tidak sedarkan diri. Malah, tindak balas anak mata juga lemah.
Setelah tiga hari menerima rawatan rapi, Ain Farhana menghembuskan nafas terakhir selepas bantuan oksigen dihentikan.
PENDARAHAN OTAK
Walaupun kes sebegini jarang berlaku, pendarahan otak boleh menyebabkan komplikasi serius jika tidak dirawat segera.
Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Fertiliti dari Pusat Perubatan Prince Court, Dr Maiza Tusimin berkata, pendarahan otak boleh berlaku di beberapa lokasi seperti intraserebrum, subaraknoid atau subdural.
Secara khusus, kes pendarahan otak intraserebrum dalam kalangan wanita hamil dilaporkan sekitar tujuh kes bagi setiap 100,000 kehamilan.
“Walaupun angka ini rendah, wanita hamil dianggap lebih berisiko berbanding yang tidak mengandung. Ia menyumbang antara sembilan hingga 38 peratus kes kematian ibu hamil akibat komplikasi seperti ini, terutama dalam trimester ketiga dan 12 minggu selepas bersalin.
“Pendarahan berlaku apabila salur darah otak pecah, menyebabkan tekanan dalam tengkorak meningkat dan mengganggu penghantaran oksigen serta nutrien ke otak, lalu membunuh sel-sel otak.
“Trend global turut menunjukkan peningkatan kes di negara berpendapatan tinggi seperti Malaysia, selari dengan peningkatan hipertensi, obesiti, diabetes dan kehamilan lewat usia,” jelasnya.
Antara faktor utama ialah praeklampsia dan eklampsia, iaitu tekanan darah tinggi tidak terkawal yang disertai sawan. Hipertensi, sama ada sedia ada atau baru muncul ketika hamil, turut menyumbang risiko, selain aneurisme iaitu kecacatan salur darah yang boleh pecah secara tiba-tiba.
“Faktor lain termasuk gangguan pembekuan darah, sama ada secara genetik atau berpunca daripada ubat, serta kecederaan kepala yang lebih mudah berlaku semasa hamil,” katanya.
Pembedahan cesarean
Dr Maiza menasihatkan agar perhatian diberi kepada gejala seperti sakit kepala secara tiba-tiba dan teruk, muntah, penglihatan kabur, kebas atau lemah pada satu bahagian badan, kesukaran bertutur, hilang keseimbangan, kekeliruan, rasa mengantuk, sawan atau pengsan.
Rawatan awal amat penting dalam menentukan peluang sembuh. Justeru, kepekaan suami dan ahli keluarga terhadap tanda awal sangat diperlukan.
Rawatan melibatkan kawalan tekanan darah, pernafasan dan imbasan otak segera. Dalam kes serius, pembedahan cesarean mungkin dilakukan demi menyelamatkan ibu dan bayi.
“Wanita perlu mengawal berat badan, elak tekanan, amalkan gaya hidup sihat, elakkan jadi perokok pasif dan dapatkan kaunseling prakehamilan. Elak ambil ubat atau suplemen tanpa nasihat doktor, dan pastikan pemeriksaan antenatal dilakukan secara berkala,” ujarnya.