MEMASUKI bulan Ogos, kebanyakan premis akan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan dan cinta kepada tanah air sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Namun di sebalik lautan bendera yang berkibar megah, kisah seorang remaja istimewa dari Sabah mencuri perhatian ramai. Bukan sahaja kerana semangat patriotiknya yang luar biasa, malah ketelitiannya mengenal pasti kibaran bendera yang betul, walaupun dia seorang remaja autisme dan mengalami .
Menerusi video tular yang meraih hampir 10,000 tanda suka, Etzel James Edmund, 13, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi, Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana Lahad Datu, Sabah dilihat menunjukkan satu persatu bendera negeri-negeri di Malaysia dalam satu acara keluarga.
Biarpun disahkan mengalami autisme ringan dan Kecelaruan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), setiap kali tiba bulan kemerdekaan, remaja itu akan mengambil giliran memasang bendera negeri-negeri Malaysia di pekarangan rumah.
"Ini Pahang, Sabah, Sarawak, Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
"Ini pula Melaka, Perak, Kelantan, Perlis, Johor dan Malaysia (Jalur Gemilang)," katanya sambil disaksikan ahli keluarga.
Menurut bapa saudaranya, Lukman Low Yit Kun, remaja berasal dari Kampung Mantailang, Tenom, Sabah, itu memang berminat dengan bendera negeri dan menghafalnya sejak berusia lima tahun lagi.
Malah anak kepada pasangan Low Yit Ming dan James Edmund itu ringan tulang memasangnya di kawasan rumah keluarga.
"Bendera ini dipasang sendiri oleh anak buah saya, Etzel, insan istimewa autisme ringan dan ADHD yang sangat saya banggakan.
"Etzel anak Cina Dusun yang penuh semangat patriotik. Dia bukan sahaja memiliki bendera kebangsaan, malah mengumpul kesemua bendera negeri di Malaysia. Inilah koleksi yang paling dia sayang dan dia tahu nama negeri bagi setiap bendera-bendera itu.
"Sejak dulu hingga kini, tidak pernah sekalipun saya nampak dia pasang bendera terbalik," kongsi Lukman.
Belajar dalam aliran PPKI dan menerima galakan daripada ibu bapa membantu Etzel bersemangat mempelajari sesuatu yang baru.
"Etzel tahu kedudukan negeri dalam peta Malaysia, selain selalu belajar memasak, menjahit, kemas rumah dan lain-lain," kongsi Lukman kepada SinarPlus.
Warga maya yang tertarik dengan ketekunan Etzel memuji kekebolehan anak muda itu mengingati dengan mudah.
Tidak kurang yang menyatakan terharu melihatnya menghormati bendera-bendera negeri biarpun berstatus istimewa.
"Terbaik. Hebat adik ini. Saya yakin masih ramai anak-anak Malaysia yang sudah habis sekolah masih belum kenal bendera setiap negeri."
"Terbaik adik Etzel, bagusnya. Baru rakyat Malaysia."
"Biarpun istimewa bukan alasan. Tahniah ibu ayah dan guru-guru yang berjaya mendidik."
"Adik ini lahir di Malaysia walaupun istimewa dia menjiwai setiap bendera. Yang pasang terbalik itu mungkin tidak lahir di Malaysia."
"Ya, saya setuju pendidikan khas pun tidak terbalik pasang bendera. Memang tak betul kalau percaya mereka tidak sengaja. Setiap tahun. Jangan jadi buta mata dan hati ye demi tujuan."
Baru-baru ini sebuah sekolah di Port Dickson mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Dimaklumkan, pemasangan bendera itu dilakukan seorang pekerja sekolah berstatus kurang upaya bersama seorang lagi pekerja am yang membantu menghias kawasan sekolah selepas waktu persekolahan.
Menurut Timbalan Ketua Cabang Keadilan Port Dickson, Datuk Kenny Chiew Chi Kin,sejurus menyedari insiden itu pihak sekolah segera membetulkan bendera berkenaan.