Salah guna antibiotik jejas rawatan & boleh undang maut – Jangan ambil suka-suka!

Iklan

DAHULU, antibiotik dianggap satu keajaiban dalam dunia perubatan.

Banyak penyakit berbahaya dapat dirawat, sekali gus mengurangkan kadar kematian secara drastik dan meningkatkan kualiti hidup pelbagai individu.

Iklan
Iklan

Namun, penyalahgunaan dan preskripsi antibiotik secara berlebihan, khususnya untuk sakit tekak yang kebanyakannya berpunca daripada virus, kini menjadi isu serius yang mengancam keberkesanan antibiotik dalam jangka panjang.

Trend ini mendorong peningkatan rintangan antimikrob (AMR), satu isu yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah kesihatan awam pada skala global.

Iklan

Antibiotik adalah merupakan kategori ubatan antimikrob. Rintangan antimikrob akan berlaku apabila kuman seperti bakteria dan kulat membina keupayaan untuk menentang ubat yang direka untuk melawan dan membunuhnya.

Kegagalan antibiotik ini untuk bertindak balas akan menyebabkan penyakit akan berpanjangan, kos rawatan menjadi lebih tinggi dan risiko kematian juga semakin meningkat.

Iklan

Contohnya bagi kes sakit tekak, yang mana penggunaan antibiotik yang tidak diperlukan akan menyumbang kepada rintangan.

Menurut Profesor dan Pakar Perunding Kanan Mikrobiologi Klinikal di Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Zamberi Sekawi, kebanyakan kes sakit tekak berbentuk viral dan tidak memerlukan antibiotik.

“Dalam kes sebegini, menguruskan gejala dengan ubat tahan sakit, penghidratan mencukupi, serta semburan tekak dengan agen anti-radang boleh memberikan kelegaan yang berkesan, seperti yang disarankan dalam konsensus multidisiplin terkini mengenai rawatan sakit tekak di Malaysia,” kata beliau.

Oleh itu, penting untuk membetulkan salah faham ini dengan memberikan maklumat yang tepat dan jelas bagi penggunaan antibiotik dalam kalangan orang awam dan penyedia penjagaan kesihatan.

Berikut adalah lima salah faham utama yang perlu ditangani:

Mitos 1: Antibiotik boleh merawat jangkitan virus

Secara global, kajian menunjukkan sekurang-kurangnya 50 peratus antibiotik dipreskripsikan secara tidak tepat untuk jangkitan virus, sekali gus menyumbang kepada peningkatan rintangan yang tidak diperlukan.

Antibiotik hanya berkesan terhadap jangkitan bakteria. Namun, masih ramai yang menyalahgunakannya untuk penyakit virus seperti selesema, demam, atau sakit tekak.

Mitos 2: Berhenti mengambil antibiotik lebih awal adalah selamat jika gejala telah berkurang

Bakteria yang masih hidup selepas rawatan yang tidak lengkap boleh menyesuaikan diri, bermutasi, dan menjadi tahan terhadap antibiotik, menjadikan jangkitan pada masa akan datang lebih sukar untuk dirawat.

Oleh itu, adalah penting untuk menghabiskan keseluruhan dos antibiotik yang telah ditetapkan oleh doktor bagi memastikan semua bakteria yang berbahaya dihapuskan.

Mitos 3: Rintangan antibiotik berlaku pada manusia, bukan bakteria

Penyalahgunaan antibiotik untuk penyakit seperti sakit tekak, selesema, atau demam yang biasanya disebabkan oleh virus, menyumbang kepada peningkatan rintangan bakteria.

Akibatnya, jangkitan yang dahulunya mudah dirawat kini menjadi lebih sukar diatasi. Apabila rintangan meningkat, jangkitan tersebut mungkin memerlukan rawatan yang lebih kuat, lebih mahal, dan tidak semestinya berkesan.

Mitos 4: Berkongsi atau menggunakan antibiotik lebihan tidak berbahaya

Amalan ini amatlah berbahaya. Setiap jangkitan memerlukan jenis antibiotik, dos, dan tempoh rawatan yang khusus. Pengambilan pengubatan yang salah atau dos yang salah bukan sahaja gagal merawat jangkitan, tetapi juga meningkatkan rintangan.

Mitos 5: Antibiotik diperlukan untuk semua jangkitan

Tidak semua jangkitan bakteria memerlukan antibiotik. Jangkitan bakteria ringan boleh sembuh sendiri dengan rehat dan penghidratan yang mencukupi. Preskripsi antibiotik secara berlebihan untuk jangkitan ringan hanya mempercepatkan rintangan, mengurangkan pilihan rawatan, dan meningkatkan risiko jangkitan serius.

Jangkitan bakteria

Dalam pada itu, memetik laporan dari Pakar Runding Penyakit Berjangkit, Profesor Madya Dr Sasheela Sri La Sri Ponnampalavanar melalui portal Hello Doktor, tanpa langkah pencegahan segera, masa depan kesihatan awam dunia akan terancam dan dianggarkan lebih 10 juta kematian akan berlaku disebabkan AMR menjelang tahun 2050.

Satu jumlah yang lebih tinggi berbanding gabungan kadar kematian semasa disebabkan kanser, diabetes dan kemalangan lalu lintas.

Asia dipercayai akan berdepan kesan paling besar dengan 4,730,000 kematian menjelang 2050.

Untuk mengatasi daripada wujudnya masalah rintangan antimikrob ini, cara yang boleh dilakukan adalah, jika mengalami sebarang jangkitan bakteria, pastikan anda melengkapkan pengambilan antibiotik yang diberikan doktor untuk mencegah kemunculan bakteria berdaya tahan dan rawatan jangkitan sebahagian.

Penggunaan antibiotik juga harus dikawal secara sepenuhnya. Pakar perubatan, ahli farmasi dan seseorang individu itu sendiri mesti mengelakkan penggunaan ubatan berharga ini secara tidak bertanggungjawab.

Pengambilan dan pembelian antibiotik mesti diberikan hanya untuk jangkitan bakteria pada dos yang sewajarnya dan untuk tempoh yang betul.

Seseorang individu yang sakit, seharusnya kekal mendapatkan rawatan dengan hanya seorang doktor sehingga masalah jangkitan diselesaikan dan tidak bertukar-tukar doktor.

Misi ini sangat penting, kerana setiap hari yang berlalu tanpa sebarang tindakan boleh menjejaskan kemajuan perubatan yang telah tercapai menggunakan pengubatan yang menyelamatkan nyawa ini.

Adalah penting bahawa kita bertindak secara tegas bagi memupuk satu budaya pemahaman dan tanggungjawab berkaitan penggunaan antibiotik, bagi memastikan masa depan yang lebih sihat buat semua.