PELAKON popular Indonesia, Acha Septriasa disahkan telah bercerai dengan suaminya, Vicky Kharisma pada 19 Mei 2025.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi dokumen rasmi Mahkamah Agama Jakarta Pusat yang kini tular di media sosial, selain turut disenaraikan dalam laman direktori Mahkamah Agung Republik Indonesia, menurut laporan media tempatan.
Berdasarkan rekod kes bernombor 1619/Pdt.G/2024/PA.JP, Acha Septriasa, atau nama penuhnya Jelita Septriasa binti IR Sagitta Ahimsha, telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Vicky Kharisma, pada 13 Disember 2024.
Mahkamah memutuskan talak satu bain shughra dan mengenakan kos perbicaraan sebanyak Rp2,358,000 ke atas pihak Acha.
Acha Septriasa dan Vicky Kharisma melangsungkan perkahwinan pada 11 Disember 2016 dan memilih untuk menetap di Sydney, Australia sejak awal perkahwinan mereka.
Daripada perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan, Bridgia Kalina Kharisma yang dilahirkan pada 21 September 2017.
Khabar angin mengenai keretakan rumah tangga mereka mula tersebar selepas Acha memuat naik satu hantaran di akaun Instagram miliknya yang disertakan dengan tanda pagar #coparenting iaitu satu istilah yang sering dikaitkan dengan situasi penjagaan anak secara bersama selepas berpisah.
Meskipun sebelum ini Acha jarang dikaitkan dengan sebarang kontroversi, berita mengenai perceraiannya ini tetap mengejutkan para peminat.
Kini aktres dan penyanyi berusia 35 tahun itu dilihat kembali aktif dalam dunia lakonan termasuk membintangi filem Qodrat 2 dan menyertai beberapa projek produksi bersama yang melibatkan kerjasama antara Jakarta dan Sydney.
Sumber: Astro Awani