Hakim Frank Caprio, ikon keadilan 'berhati emas' meninggal dunia pada usia 88 tahun

Iklan

DUNIA perundangan antarabangsa kehilangan seorang figura istimewa apabila Hakim Frank Caprio, yang digelar “hakim paling baik hati di dunia”, disahkan meninggal dunia pada usia 88 tahun di Providence, Rhode Island pada 20 Ogos lalu akibat kanser pankreas.

Caprio yang terkenal melalui program realiti Caught in Providence bukan sahaja mencuri perhatian kerana jasanya hampir empat dekad di kerusi kehakiman, malah keperibadiannya yang penuh empati menjadikan beliau ikon luar biasa di mata masyarakat dunia.

Iklan
Iklan

Dilantik sebagai hakim pada tahun 1985, Caprio mengabdikan diri sehingga bersara pada 2023. Namun, namanya mula meniti bibir masyarakat global selepas detik-detik kemanusiaan beliau dalam menangani kes pesalah lalu lintas tular di media sosial.

Iklan

Senyuman ramah dan kata-kata penuh empati menjadikan setiap pengadilan beliau lebih mirip nasihat seorang ayah berbanding suara hakim yang menghukum. Ada ketika beliau membebaskan pesalah warga emas yang membawa anak sakit, malah ada juga saat beliau menukar denda menjadi peluang memberi semangat.

Keunikan itu membuatkan Caprio mendapat gelaran sebagai “America’s Nicest Judge”, malah ramai mengangkatnya sebagai simbol keadilan yang berpaksikan hati nurani.

Iklan

Perjuangan melawan penyakit

Pada Disember 2023, Caprio mengumumkan beliau menghidap kanser pankreas. Sejak itu, jutaan peminat mendoakan kesembuhannya. Meskipun berdepan rawatan kemoterapi dan radiasi, beliau tetap tampil positif, bahkan sempat meraikan tamatnya sesi rawatan dengan penuh senyuman.

INSPIRASI GLOBAL

Namun, pada 19 Ogos lalu, beliau mengakui kesihatannya kembali merosot sebelum menghembuskan nafas terakhir sehari kemudian.

Selain dikenang sebagai hakim, Caprio adalah seorang suami, bapa, datuk dan cicit yang penyayang. Beliau meninggalkan seorang isteri, lima anak, tujuh cucu dan dua cicit.

Sebagai penghormatan, Gabenor Rhode Island, Dan McKee, mengarahkan bendera seluruh negeri dikibarkan separuh tiang tanda penghargaan kepada jasa dan ketokohan beliau.

Bagi masyarakat dunia, Caprio bukan sekadar individu bersut hitam di kerusi kehakiman. Beliau adalah simbol bahawa undang-undang boleh ditegakkan tanpa mengabaikan nilai belas kasihan.

Kisah-kisah kecil di mahkamahnya menjadi inspirasi global mengingatkan manusia bahawa di sebalik aturan dan garis undang-undang, ada ruang besar untuk hati yang memahami.