PELAKON dan penyanyi popular Indonesia, Irwansyah mengumumkan kelahiran cahaya mata ketiga pada Sabtu.
Irwansyah, 41, menitipkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas anugerah terindah itu yang disifatkan sebagai hadiah paling bermakna sempena Ramadan tahun ini.
Berita gembira berkenaan dikongsikan sendiri oleh suami kepada Zaskia Sungkar itu menerusi laman Instagram miliknya.
“Alhamdulillahilladzi bini’matihi tatimmush sholihaat. Masya-ALLAH tabarakallah. Terima kasih Ya Rabb kirimkan dia untuk kami.
"Urwah Muhammad Syahki, semoga menjadi anak yang soleh dan membawa kami ke syurga-MU ALLAH,” tulisnya.
Dalam masa sama, Irwansyah turut menitipkan penghargaan buat isterinya, Zaskia yang disifatkan sebagai wanita solehah atas segala pengorbanan dilalui sepanjang proses kehamilan dan kelahiran.
“Teruntuk isteriku yang shalihah, terima kasih ya sayang atas pengorbanannya, sakitnya, capeknya.
"Semoga semua ini menjadi penghapus dosa buat kamu,” kongsinya lagi.
Pasangan selebriti yang mendirikan rumah tangga pada 2011 itu menantikan kelahiran anak pertama selama 10 tahun.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ukkasya Muhammad Syahki, 5, dan seorang anak angkat perempuan dinamakan Humaira.