BIDUANITA negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui hatinya tersentuh dengan pergolakan yang sedang berlaku di Indonesia pada masa kini.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, hubungan antara Malaysia dan Indonesia amat akrab, justeru sebarang kesusahan yang menimpa rakyat di sana turut dirasai bersama.
“Apa yang berlaku di sana sekarang, saya sebagai anak seni yang diterima baik oleh masyarakat Indonesia, turut terkesan jugalah. Kita turut bersimpati. Malaysia dan Indonesia ini ibarat adik-beradik.
“Kalau cubit paha kiri, paha kanan pun terasa juga,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media pengumuman hos, barisan penyampai dan penghibur Anugerah Industri Muzik 24 (AIM24), di ibu negara.
Sehubungan itu, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu menyeru semua pihak agar memberikan sokongan moral kepada mereka yang terkesan di seberang.
Ibu kepada sepasang cahaya mata itu sendiri menunjukkan solidariti dengan menyertai gerakan dalam talian yang digerakkan rakyat Malaysia baru-baru ini.
“Kita bantu dari segi sokongan moral, kata-kata semangat. Seperti yang rakyat Malaysia lakukan dengan membuat pesanan makanan untuk pemandu ojek di sana, saya turut sama menyertai inisiatif itu,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi kesayangan ramai itu mendedahkan beliau dijadualkan membuat persembahan pada festival muzik Pestapora yang berlangsung pada 7 September depan.
Katanya, beliau berdoa agar keadaan kembali tenang supaya persembahan yang dinantikan peminat di Indonesia dapat diteruskan.
“Sebenarnya saya ada persembahan untuk Pestapora pada 7 September. Saya masih melihat perkembangan dari semasa ke semasa.
“Harapan saya agar keadaan kembali reda supaya saya boleh ke sana kerana memang sangat merindui peminat-peminat di Indonesia,” jelasnya.
Tambah Siti, penganjur di Jakarta sebelum ini beberapa kali menjemputnya membuat persembahan, namun kekangan masa menjadi penghalang.
Justeru kali ini, beliau bersyukur kerana dapat memenuhi jemputan tersebut.
Difahamkan, berdasarkan maklumat terkini daripada pihak penganjur, festival terbabit masih berjalan seperti yang dirancang. Bagaimanapun, sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pestapora merupakan festival muzik berskala besar membabitkan lebih 200 artis tempatan dan antarabangsa selama tiga hari berturut-turut. Siti dijadualkan membuat persembahan pada hari terakhir acara tersebut.
Selain Siti, antara artis lain yang membuat persembahan adalah Sheila on 7, Raissa, Bernadya, Hindia dan ramai lagi.
Terdahulu, pada 28 Ogos lalu, seorang pemandu ojek, Affan Kurniawan, 21, maut digilis kenderaan taktikal ‘Barracuda’ milik polis Indonesia ketika demonstrasi penduduk di Bendungan Hilir, Jakarta.
Susulan tragedi itu, Ketua Polis Indonesia serta Presiden Prabowo Subianto tampil membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa selain mengesahkan tujuh anggota terbabit telah ditahan.
Sebagai tanda solidariti, warganet Malaysia menghulurkan bantuan dengan membuat pesanan makanan kepada pemandu ojek dalam talian (ojol) di Indonesia.