Zizi & Ardell harap misi Flotilla berjaya jejak G4z4

Iklan

PENYANYI Zizi Kirana dan pelakon Ardell Aryana berkongsi pengalaman penuh makna apabila kini berada di Tunisia selepas menempuh pelayaran mencabar selama lapan hari dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke G4z4, P4lestin.

Biarpun pelayaran yang ditempuh penuh dengan cabaran, kedua-dua aktivis kemanusiaan itu tetap mengekalkan semangat kental untuk meneruskan misi kemanusiaan itu agar bantuan dapat disalurkan kepada rakyat P4lestin. 

Iklan
Iklan

Walaupun berstatus selebriti, mereka memilih untuk berada di barisan hadapan, menzahirkan keprihatinan terhadap isu sejagat yang merentasi sempadan hiburan.

Pemilik nama sebenar, Nur Fazelah Mad Tahil, turut berkongsi pengalaman berada di women’s boat iaitu kapal yang kru sepenuhnya terdiri daripada wanita. Situasi itu menurutnya sangat memudahkan terutama bagi menjaga aurat. 

Iklan

“Alhamdulillah sebenarnya ia memudahkan kami perempuan untuk bergerak ke sana sini. Dalam kapal itu ada juga kru bukan Muslim tetapi mereka sangat memahami. Saya dan Mariam ditempatkan di ruang selesa, jadi lebih mudah untuk menjaga aurat,” jelas wanita berusia 40 tahun itu lagi.

Namun, perjalanan mereka tidak terlepas daripada ujian besar. Menurut isteri kepada aktor Yusuf Baharin itu, kapal yang dinaikinya turut berdepan ribut taufan sehingga tangga untuk naik ke dek tercabut dan patah. 

Iklan

Meskipun serba kekurangan, Zizi tetap bersyukur kerana kemudahan asas masih tersedia dalam pelayaran tersebut.

“Laut bergelora sampai rasa badan ini terumbang-ambing ke kiri dan ke kanan. Tetapi pengalaman itu banyak mengajar saya secara peribadi. Ujian di kapal tidak sebesar yang dialami rakyat P4lestin. 

"Mereka makan dan minum dicatu, ada kalanya hanya makan epal atau nasi sahaja, saya selalu motivasi diri dengan berfikir orang di G4z4 lebih teruk kerana tiada makanan langsung.

 “Alhamdulillah dalam kapal itu ada makanan dan minuman yang cukup. Pelayaran ini sudah cukup bermakna untuk saya, masya-ALLAH,” tambahnya.

Sementara Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, pula mendedahkan, dia menaiki kapal bernama Inana yang merupakan antara tiga kapal paling kecil dalam flotilla tersebut. 

“Alhamdulillah kami ada sembilan kru dan pengalamannya Subhanallah. Lapan hari itu termasuk dengan kontingensi akibat ribut pada hari kedua yang menyebabkan bot kecemasan dan beberapa tiang patah,” ujarnya.

Dalam perkongsian tersebut, masing-masing sepakat menegaskan, misi itu bukan tentang kisah mereka semata-mata, tetapi mengenai nasib saudara di G4z4 yang sedang menanti bantuan. 

"Jadi, kami harap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan misi ini berjaya menembusi penghalang di G4z4 dan menyalurkan bantuan terus ke sana, insya-ALLAH,” titip mereka.

Keterlibatan dua bintang seni tersebut dalam misi flotilla bukan sahaja mencerminkan keberanian, malah memperlihatkan sisi berbeza mereka yang memilih untuk keluar daripada zon glamor demi sebuah perjuangan kemanusiaan. 

Di sebalik populariti dan gaya hidup mewah, kedua-duanya sanggup meredah lautan bergelora demi sebuah harapan buat G4z4 – bukti bahawa empati dan kemanusiaan jauh lebih berharga daripada sorakan di pentas hiburan.

Terkini, pasukan Sumud Flotilla yang berada di Itali sudah bersiap sedia untuk memulakan pelayaran ke G4z4.