Rayuan bankrap gagal, Jovian Mandagie berdepan hutang lebih RM5.28 juta

Iklan

PEREKA fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie gagal merayu  untuk mengetepikan perintah kebankrapan terhadapnya selepas gagal melunaskan pinjaman persahabatan berjumlah RM5.28 juta termasuk faedah kepada syarikat pembinaan kejuruteraan Cekap Air Sdn Bhd.

Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili pihak syarikat memaklumkan mahkamah bukan sahaja menolak rayuan tersebut, malah turut menolak permohonan Jovian untuk menggantung perintah kebankrapan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Mahkamah menolak rayuan bagi mengetepikan petisyen pemiutang dan untuk menggantung perintah kebankrapan dengan kos berjumlah RM10,000," katanya kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar Hakim Jamhirah Ali.

Imbas kembali 3 Julai tahun lepas, Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli mengeluarkan perintah kebankrapan selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat berkenaan pada 20 November 2024.

Iklan

Artikel berkaitan: 

Iklan

Tindakan itu menyusul selepas notis kebankrapan difailkan pada 21 Mei 2024 berikutan kegagalan beliau mematuhi penghakiman terus yang diberikan mahkamah pada 2 April tahun sama.

Berdasarkan petisyen kebankrapan pemiutang, syarikat berkenaan memohon satu perintah kebankrapan terhadap Jovian selaku penghutang kerana gagal membayar RM5,284,340.66 juta termasuk faedah seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi.

Sebelum itu, pada 2 April 2024, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin mengarahkan Jovian membayar pinjaman persahabatan terbabit selepas membenarkan permohonan Cekap Air selaku plaintif untuk memasukkan penghakiman terus terhadap pereka fesyen itu.

Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.

Kes ini berpunca daripada saman yang difailkan terhadap Jovian pada 16 Mei 2023 selepas dia didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan oleh pengarah syarikat berkenaan, Yong Zhen Wei, yang juga kenalannya. Wang tersebut didakwa dipindahkan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian pada 25 Februari 2022 dengan tempoh bayaran balik tidak melebihi 12 bulan.

Plaintif mendakwa pinjaman itu diberikan dan dilakukan secara lisan serta kasual kerana plaintif dan defendan ialah kenalan dan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana lelaki itu memiliki beberapa perniagaan lain.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa defendan telah memungkiri perjanjian pinjaman terbabit dan hingga kini gagal membayar semula atau memulangkan kembali wang berkenaan menyebabkan syarikat tersebut mengalami kerugian. Jovian telah memfailkan pernyataan pembelaan pada 20 Jun 2023- Bernama