TIDAK semua orang selesa untuk bercakap tentang isu hubungan intim, apatah lagi bila menyentuh soal menopaus. Namun, hakikatnya inilah realiti yang dilalui hampir setiap wanita apabila usia makin meningkat.
Ramai yang memandang remeh kepentingan seks dalam rumah tangga, kononnya bila sudah berumur hal ini tidak lagi penting. Sedangkan, hubungan intim adalah salah satu tunjang kemesraan dan romantik antara suami isteri.
Pernah kita dengar kes rumah tangga berantakan gara-gara masalah di bilik tidur. Malah, ada juga suami yang bertindak menceraikan isteri hanya kerana tidak puas dalam hubungan intim, dengan alasan pasangan sudah melalui fasa menopaus.
Sebenarnya, gejala menopaus bukan sekadar soal umur. Ia boleh menjejaskan kualiti hidup wanita secara keseluruhan dan memberi kesan besar kepada hubungan dengan suami.
Menurut Dr Afif Mohd Ridzwan, seorang doktor perubatan dan penceramah kesihatan, isu ini tidak boleh dipandang enteng. Katanya, komunikasi yang jujur antara pasangan adalah kunci utama sebelum membuat sebarang keputusan drastik.
“Ramai yang malu hendak bercerita kepada doktor atau tidak tahu cara penyelesaiannya. Lelaki pula nafsunya sentiasa di hadapan berbanding wanita. Jangan terkejut, usia 60-an pun masih ada keperluan seks.
“Tetapi suami kena faham bahawa isteri akan masuk fasa menopaus antara usia 45 hingga 55 tahun. Masa ini, hormon estrogen menurun dan faraj jadi kering. Sebab itulah libido wanita berkurangan,” jelas beliau.
HUBUNGAN INTIM
Tambahnya, bukan bermaksud hubungan intim perlu terhenti, sebaliknya ada banyak cara untuk mengatasinya. Antara solusi yang disarankan ialah rawatan hormon atau Terapi Penggantian Hormon (HRT) yang membantu mengurangkan gejala menopaus seperti badan mudah panas dan kekeringan faraj.
“Kalau rasa tidak puas dalam hubungan, jangan terus jadikan alasan untuk bercerai atau berkahwin lain secara diam-diam. Suami kena berusaha cari jalan memperbaiki hubungan kelamin. Banyak cara sebenarnya, asalkan ada kesungguhan.
“Kehidupan lebih selesa boleh dicapai bila kita berusaha mengatasi kekurangan dalam hubungan intim. Tetapi ingat, setiap orang berbeza tahap hormon dan gejala menopaus. Sebaiknya dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu,” tegas Dr Afif.
Realitinya, menopaus bukan pengakhiran kepada hubungan intim. Ia hanya fasa kehidupan yang memerlukan kefahaman, kesabaran dan usaha kedua-dua belah pihak. Dengan komunikasi yang baik dan rawatan yang betul, rumah tangga masih boleh kekal harmoni dan penuh kasih sayang.