'Apa masalah anak saya…'– Reaksi lucu Jamal Abdillah lihat Azura tidur dengan lembu

Iklan

SIAPA kata lembu hanya untuk sawah atau ladang? Bagi Nur Azura Yamani, anak kepada penyanyi lagenda Datuk Jamal Abdillah, haiwan tersebut juga boleh jadi ‘bantal empuk’ yang sempurna.

Video tular di TikTok DJA COLLECTION memaparkan Azura sedang melelapkan mata di atas punggung seekor anak lembu yang sedang lena tidur. Tidak cukup dengan itu, anak kecil ini juga menampal plaster pada kaki lembu seolah-olah sedang memberikan rawatan khas, betul-betul gelagat yang mencuit hati.

Iklan
Iklan

Raja Pop berkenaan tidak ketinggalan berseloroh. “Apa masalah anak saya. Dia boleh tidur dengan lembu,” katanya sambil tersenyum geli melihat telatah Azura.

Iklan

Hantaran tersebut meraih perhatian ramai. Bahkan, ruangan komen terisi dengan pelbagai ucapan dan kata-kata wargamaya yang  rata-rataterhibur dan kagum melihat cara penyayi tersebut membesarkan anak-anaknya dengan santai dan penuh kasih sayang.

Ada yang menulis, “Comel sungguh! Anak ini memang fearless!” dan “Jamal memang ayah hebat, membiarkan anak belajar dengan cara sendiri.”

Iklan

Untuk rekod, Jamal merupakan usahawan penternakan secara komersial sejak 2023. Beliau sering berkongsi telatah anak-anak kecilnya menerusi laman sosial.

Sebelum ini, pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir itu pernah menegur salah empat anaknya yang dikatakan bermain di kawasan ladang ternakan lembunya di Bukit Merah, Kerian, Perak.

"Duduk sana, jangan bangun. Kena tanduk dengan lembu baru tahu," tuturnya.

Justeru, telatah Azura yang terbaharu membuktikan, imaginasi kanak-kanak memang tiada batasnya.

Dari tidur bersama haiwan hingga menjadi ‘doktor kecil’ untuk lembu, dunia mereka penuh dengan gelak tawa dan kecomelan yang mampu menceriakan hari sesiapa sahaja.

Kalau ini bukan hiburan yang boleh membuatkan hati cair dan tersenyum sepanjang hari, apa lagi kan?

Sekadar info, Jamal, 66, dan isteri Datin Zai Izzati Khairuddin mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017.

Mereka dikurniakan lima anak iaitu Nur Azura Yamani, 6, El Isaac Yamani, 5, Iskandar Rayyan Yamani, 3, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 2, dan Magdalena Yamani yang baharu dilahirkan 7 Januari lalu.

Penyanyi itu juga memiliki dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 23, dan Ahmad Zaki Yamani, 19.