PERCERAIAN pasangan pempengaruh Siti Jamumall dan Aiman Tak Kesah menjadi perhatian ramai selepas disahkan sah bercerai dengan talak satu buat kali ketiga.
Menerima keputusan yang ditetapkan oleh mahkamah, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui bahawa Aiman seorang yang bertanggungjawab dan menanggung segala keperluan bersalin dengan hasil titik peluh sendiri.
"Figura bapa terbaik. Saya minta maaf atas semua yang terjadi sampai ke hari ini.
"Awak dikecam teruk, dihina dan macam-macam lagi tapi saya bangga dengan sebab awak tetap ada.
"Orang tak tahu pada waktu hampir bersalin, duit saya dibekukan dan saya memang tiada apa. Tuhan tunjuk kepada saya yang awak memang bertanggungjawab. Awak datang, berusaha cari duit untuk selesaikan semua keperluan anak bersalin.
"Usaha awak, titik peluh cari duit dan tak cukup tidur amat saya hargai. Terima kasih sebab awak ada menemani saya berjuang melahirkan anak kita.
"Awak jaga saya dari hari pertama berpantang sampai ke hari ini untuk pastikan saya okey," kongsinya.
Dalam hantaran di TikTok, Siti sempat meluahkan perpisahan yang berlaku hanya talak dua agar masih ada peluang untuk rujuk namun reda dengan ketentuan takdir.
"Sejujurnya, saya sendiri berharap agar hanya jatuh talak dua sahaja tetapi apa boleh buat.
"Keputusan mahkamah sudah keluar hari ini dan kami memang tidak boleh bersama kembali. Saya tidak kuat untuk hadapi.
"Saya sedih bila baca orang kutuk awak, sebab saya tahu memang awak ada buat silap. Saya sendiri pun ada kesilapan tetapi masih banyak kebaikan yang ada pada awak.
"Jika ditanya, saya masih tak kuat, mungkin emosi bercampur baur sekarang, tambahan pula masih dalam tempoh berpantang," kongsinya.
Dalam pada itu, Siti turut meluahkan bahawa jauh di sudut hatinya, beliau masih berharap untuk kembali bersama Aiman demi anak mereka. Namun, beliau pasrah menerima keputusan mahkamah
Artikel berkaitan:
- Demi anak dikandung, Siti Jamumall tak tolak kembali bersama Aiman, perlu restu wali. 'Untuk balik semula kepadanya mungkin...'
- 'Tak boleh rujuk, pentingnya ilmu agama...' Ustaz jelas status cerai Siti Jamumall & Aiman, ini adab lafaz talak dalam Islam
"Anak baru 10 hari ikut sama-sama ke mahkamah. Harapan mummy bolehlah kembali bersama abi demi Ratna.
"Mummy minta maaf adik, mummy tidak boleh buat apa-apa. ALLAH mentakdirkan semua ini. Patutlah ALLAH mudahkan sangat proses bersalin dan apabila lahir Ratna sangat. Ingin menengar suaranya menangis pun payah, seolah-olah Ratna faham dan enggan susahkan mummy," kongsinya.
Dalam pada itu, Siti meminta diberi ruang dan masa untuk menerima segalanya.
"Buat masa ini, saya benar-benar perlukan masa untuk sembuh. Sumpah, saya tak kuat. Ini adalah perpisahan yang paling menyakitkan — dan meninggalkan kesan paling besar dalam hidup saya.
"Kepada keluarga dan rakan-rakan yang terus bertanya, maaf... saya belum mampu untuk menjelaskan atau bercakap dengan sesiapa buat masa ini. Saya perlukan ruang," kongsinya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Isnin memutuskan demikian selepas mendapati Khairul Aiman atau Aiman Tak Kesah, 22, selaku plaintif telah bercerai dengan Siti atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, 26, dengan talak satu kali pertama pada 17 Mac.
Pada 15 Mei, Aiman melafazkan cerai sekali lagi ketika siaran langsung laman sosial TikTok pada 1.31 pagi yang disusuli lafaz ketiga beberapa minit kemudian.
Mahkamah menetapkan talak pertama dan kedua hanya dikira sebagai satu talak rajie, manakala lafaz ketiga jatuh sebagai talak bain kubra.
Terdahulu, Siti berkahwin buat kali pertama selama empat tahun dan dikurniakan dua anak lelaki berusia lima dan tiga tahun.
Siti melahirkan cahaya mata ketiga hasil perkongsian hidup dengan Aiman pada 12 September lalu.