Air tangan simple jadi viral, Amira Othman dedah rahsia memasak: 'Takut nak cakap pandai, kena rasa sendiri'

Iklan

SIAPA sangka, hanya bermula dengan mi segera ‘air tangan’ isteri, nama Amira Othman tiba-tiba jadi bualan hangat di media sosial.

Semua gara-gara pengakuan suaminya, Fattah Amin yang berseloroh mendedahkan Amira pandai ‘upgrade’ mi segera jadi hidangan sedap.

Iklan
Iklan

Belum reda kisah itu, sekali lagi Amira mencuri perhatian apabila memuat naik menu ringkas ikan bilis bawang bersama telur goreng yang akhirnya bertukar resipi viral hingga ramai netizen mencuba.

Daripada kisah mi segera hingga lauk kampung ringkas tapi padu, Amira membuktikan kemahiran memasaknya bukan sekadar cakap kosong.

Iklan

Dalam satu temu bual, pemilik nama sebenar Amira Nadira Othman itu secara eksklusif berkongsi sisi sebenar dirinya di dapur. Daripada belajar aglio olio, ayam lemak cili api hinggalah eksperimen berani dengan ayam varuval.

Iklan

“Tidak adil untuk saya cakap saya pandai, ya. Kena rasa dulu.

"Tapi insya-ALLAH kalau cakap nak makan apa itu bolehlah saya usahakan," ungkap Amira jujur apabila diajukan tentang kepakarannya di dapur.

Bagi penyanyi dan pelakon dari Johor itu, memasak bukan sekadar tentang rasa, tetapi warisan budaya dan kasih sayang yang diwarisi daripada ibunya.

Katanya, sejak kecil dia terbiasa dengan suasana rumah yang dipenuhi aroma masakan kerana ibunya gemar memasak, manakala ayah pula lebih selesa menikmati juadah di rumah berbanding makan di luar.

“Mak saya memang suka masak. Jadi ayah memang tak makan luar. Sentiasa masakan isteri. Jadi, kita kena belajar dengan ibu kita kan," katanya sambil tertawa.

HIDANGAN RINGKAS TAPI IKONIK

Bercerita tentang menu pertama yang dicuba, Amira memilih hidangan ringkas tetapi ikonik iaitu aglio olio.

“Saya rasa yang paling ringkas dulu saya belajar pertama kali aglio olio. Sebab itu adalah satu yang sangat mudah dan senang," jelasnya lagi.

Namun, percubaan Amira tidak terhenti di situ. Dia kemudian memberanikan diri menyediakan menu kegemaran keluarga seperti ayam lemak cili api dan mencuba resipi yang lebih mencabar seperti ayam varuval.

“Itu antara kegemaran saya. Tapi ia memang memerlukan masa yang panjang ya untuk masak sebab banyak rempah-rempah.

"Jadi, saya ada cuba juga dan bagi mak ayah saya rasa. Alhamdulillah setakat ini lulus," jelasnya sambil tertawa.

Dalam dunia moden kini, ada yang berpandangan wanita tidak lagi perlu mahir memasak kerana faktor masa dan gaya hidup yang sibuk.

Namun bagi Amira, ilmu memasak tetap relevan, sekurang-kurangnya untuk dirinya.

“Kalau ditanya, secara peribadi perlu untuk lebih belajar. Tapi saya tak pastilah tentang orang lain, mungkin berbeza. Lain orang lain pilihan.

"Mungkin ada yang lebih suka makan di luar, atas faktor waktu dan sebagainya. Tetapi sebab saya membesar dengan budaya mak suka memasak dan ayah suka makan di rumah, jadi secara tak langsung buat saya rasa perlu benda yang sama (memasak).

“Secara tak langsung, ia buat saya rasa perlu ada benda yang sama seperti yang ibu lakukan. Dapat makan sama-sama, air tangan ibu kan. Saya rasa gembira dengan situasi sebegini. Insya-ALLAH, saya pun nak buat benda yang sama," kongsinya.

Berkongsi pandangan tentang kehidupan berumah tangga, Amira tidak menafikan soal selera makanan boleh menjadi salah satu elemen penting dalam membina keserasian.

“Kalau selera yang sama, itu lebih baik, kan. Senanglah nak cari keserasian dari sudut makanan itu. Tapi andai kata berbeza pun tak ada masalah.

"Saya harus meraikan dia (suami) punya selera, begitu juga sebaliknya," ulasnya jujur.

PASANGAN MERAIKAN PERBEZAAN

Baginya, kunci rumah tangga bukan hanya pada persamaan, tetapi juga bagaimana pasangan meraikan perbezaan.

“Itulah rumah tangga, harus saling melengkapi antara satu sama lain. Kalau ada persamaan, bagus alhamdulillah. 

"Kalau tak ada persamaan, kita hanya meraikan antara satu sama lain sahaja," katanya lagi.

Cerita Amira ini sebenarnya dekat dengan ramai generasi muda hari ini. Walaupun hidup semakin moden dengan akses kepada restoran dan penghantaran makanan yang mudah, ‘air tangan’ keluarga tetap menjadi sesuatu yang bernilai dan penuh makna.

Sama ada semangkuk aglio olio atau semeriah ayam varuval, yang paling penting adalah rasa kebersamaan di meja makan.

Bak kata Amira, “Takut nak cakap pandai, kena rasa sendiri. Tapi insya-Allah apa yang anda nak makan saya akan usahakan.”