VM2026 bawa aura baharu pelancongan, jom cuti-cuti Malaysia!

Iklan

SUDAH lama teringin nak cuti-cuti Malaysia? Inilah masanya.

Tahun 2026 bakal menjadi tahun paling meriah untuk sektor pelancongan negara dengan berlangsungnya kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Iklan
Iklan

Ia bukan sekadar kempen pelancongan, tetapi peluang untuk seluruh dunia melihat Malaysia sebagai sebuah destinasi serba lengkap dengan alam semula jadi yang memukau, warisan sejarah yang agung, budaya berwarna-warni serta kepelbagaian rasa yang menyatukan rakyat.

Malaysia sememangnya menawarkan pengalaman pelancongan yang pelbagai. Pencinta pantai boleh menikmati laut biru di Sabah dan Terengganu, manakala mereka yang suka suasana sejarah boleh menjejaki Kota A Famosa dan Jonker Street di Melaka.

Iklan

Untuk penggemar alam, Taman Negara dan Gunung Kinabalu menjadi tarikan utama, sementara kaki foodie pula boleh menikmati nasi lemak, char kuey teow, roti canai hingga rendang Minang, setiap hidangan mencerminkan perpaduan rakyat Malaysia.

Iklan

Lebih istimewa, VM2026 turut mengangkat identiti sejarah negara sebagai daya tarikan.

Inilah sebabnya Melaka dipilih sebagai simbol peluncuran VM2026. Kota bersejarah itu tidak hanya mewakili nostalgia lama, tetapi juga bukti dunia Melayu pernah menguasai perdagangan antarabangsa.

Malah, sejarah Enrique de Melaka yang disebut dalam catatan Magellan turut menjadi bukti hebatnya orang Melayu ketika itu.

Kisah Panglima Awang, pendekar dari Melaka yang belayar mengelilingi dunia bersama Magellan, menjadi inspirasi bahawa bangsa ini sudah lama berdiri megah di pentas global.

Bagi pelancong masa kini, Melaka adalah gabungan warisan silam dengan gaya moden. Sungai Melaka yang berkelip di waktu malam, muzium bersejarah, hingga persembahan kebudayaan yang rancak menjadikan bandar ini tarikan unik yang tiada tandingan di rantau ini.

Kempen tersebut membuktikan, pelancongan bukan hanya soal melancong semata-mata, tetapi ada kaitan rapat dengan ekonomi, seni, budaya dan perpaduan rakyat.

Semua itu dimulakan secara rasmi pada 27 September 2025, apabila Perdana Menteri melancarkan VM2026 di Encore Melaka.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sejarah Malaysia perlu ditulis berpaksikan penyelidikan tempatan, bukan lagi mengikut naratif penjajah.

Malaysia, katanya, pernah memiliki tamadun hebat yang menghubungkan perdagangan dengan Timur dan Barat.

Dari kisah Laksamana Cheng Ho hingga kehadiran Puteri Hang Li Po, semua ini membuktikan bahawa Malaysia suatu ketika dahulu sudah menjadi pusat ketamadunan rantau.

Malah, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa syukur dan bangga kerana Melaka berjaya membuktikan kehebatan mereka.

Destinasi unik

Pelancaran tersebut juga bukan sahaja tentang seni dan budaya, tetapi juga mengenai ekonomi, makanan, perpaduan dan sejarah agung Kesultanan Melayu Melaka.

Beliau menegaskan, Melaka adalah destinasi unik yang keistimewaannya tiada tandingan di rantau ini.

Oleh itu, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah VM2026 adalah satu keputusan yang tepat.

Malam penuh meriah itu menyaksikan persembahan zapin terbesar dengan 3,224 penari, sekali gus mencipta rekod Malaysia Book of Records.

Kehadiran Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar yang mendendangkan lagu ikonik Senandung Anak Melaka menjadikan majlis berkenaan lebih bermakna dan penuh warna.

Detik itu juga bukan sekadar simbolik perasmian, tetapi cerminan betapa seni, budaya dan perpaduan rakyat Malaysia menjadi nadi utama kempen ini.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, kejayaan Malaysia menganjurkan acara bertaraf dunia hanya berlaku apabila adanya sokongan semua pihak, baik kerajaan, swasta, NGO mahupun rakyat sendiri.

Jadi, sudah sampai masanya untuk mula merancang destinasi idaman anda.

Sama ada mahu menikmati panorama laut biru, menghayati kisah silam di kota bersejarah atau sekadar mencuba pelbagai juadah tempatan, VM2026 menjanjikan pengalaman penuh warna yang akan meninggalkan kenangan berharga untuk setiap pelancong.