PENYANYI dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana, berkongsi pengalaman didera ketika ditahan dan disoal siasat oleh tentera Isr4el selepas kapal Huga yang dinaiki dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dipintas semasa menghampiri G4z4 baru-baru ini.
Dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, menceritakan detik hitam apabila dirinya diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan, termasuk dipaksa menanggalkan tudung dan diperiksa tanpa belas kasihan oleh pihak berkuasa rejim Zionis.
“17 orang lain dibenarkan masuk ke Imigresen. Saya bersama penganjur yang juga wanita P4lestin dibiarkan berjemur lebih sejam dalam keadaan melutut dan tangan ke depan.
"Saya pakai topi, dia suruh buka. Bila saya nak tenangkan diri dengan mengaji, mereka tarik al-Quran dari tangan saya dan tanya itu apa. Saya jawab itu al-Quran, mereka suruh simpan dalam beg,” katanya.
Zizi berkata, selepas dijemur di bawah terik matahari, namanya dipanggil untuk masuk ke dalam Imigresen.
Namun keadaan menjadi semakin tegang apabila dia diarahkan menanggalkan kasut, stoking dan tudung.
“Saya kata haram untuk saya buka tudung sebagai seorang Muslim tapi mereka paksa, mereka tarik tudung saya dari belakang.
"Saya pegang kuat-kuat sambil cakap ‘no’. Sampai kawan-kawan bukan Muslim dari kapal sama dengan saya pun menangis, mereka jerit ‘Nur, be strong’.
"Dalam saya tahan tudung, mereka tetap tarik juga sampai terbuka,” ujarnya dengan sebak.
Menurut pelantun Eh! itu, dia hanya mampu berdoa agar ALLAH memberi balasan setimpal terhadap kezaliman yang dilakukan oleh tentera Israel.
“Rasa masa itu betul-betul berdoa, ‘Ya ALLAH, berilah balasan paling setimpal dengan kezaliman mereka terhadap umat Islam di dunia.’
"Lepas itu saya dibawa ke satu ruang, diperiksa seluruh badan. Saya cuma mampu sebut ‘Ya Rab’,” katanya.
Tambah isteri kepada aktor Yusuf Bahrin itu, sebaik pemeriksaan selesai, dia bersama aktivis lain dibawa ke penjara tanpa kasut dan pakaian lengkap.
Di situ, Zizi menggunakan apa sahaja yang ada untuk menutup aurat dan menunaikan solat.
“Di penjara memang mereka tak bagi pakai hijab. Saya guna inisiatif sarung T-shirt putih untuk dijadikan tudung.
"Kami tak ada stoking, jadi saya guna selimut tutup kaki dan solat dengan niat semoga ALLAH terima,” jelasnya.
Tambah Zizi, dia bersama rakan seindustri, Ardell Aryana, antara individu terawal yang tiba di penjara selepas kapal mereka ditahan.
Walaupun berdepan layanan kejam, dia bersyukur atas bantuan dan sokongan yang dihulurkan kerajaan Malaysia dan Turkiye dalam urusan pembebasan mereka.
“Saya dengan Ardell selalu berfikiran positif, cakap mesti mereka tengah uruskan pembebasan kita.
"Alhamdulillah, bila dapat layanan daripada kerajaan Turkiye dan Duta Malaysia, saya sangat terharu. Mereka sediakan kemudahan yang tak mampu saya ucap dengan kata-kata,” katanya.
Zizi berkata, dia keluar dari tahanan hanya bersama pasport dan tidak dibenarkan membawa sebarang barangan peribadi yang dibawa dari Malaysia.
“Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan Malaysia dan Turkiye atas segala bantuan yang diberi,” ujar Zizi mengakhiri cerita penuh getir itu.