BAHAGIA tidak semestinya perlu ditayang. Bagi penyanyi dan pelakon, Harris Alif, hidup bersama isteri tercinta, Intan Ladyana, lebih bermakna jika dinikmati secara sederhana, jauh daripada sorotan media sosial.
Walaupun sering dipuji sebagai suami muda yang matang dan ‘low profile’, Harris tidak melihat sanjungan itu sebagai lambang kejayaan. Malah, dia menganggap setiap pujian adalah ujian tersendiri.
“Saya tidak rasa selesa bila orang terlalu memuji. Pujian pun satu ujian juga.
“Kadang-kadang orang nampak kita baik atau matang, tetapi hakikatnya kita sama sahaja seperti orang lain, manusia biasa.
“Jadi, saya lebih suka ambil setiap pujian itu sebagai teguran yang boleh bantu saya perbaiki diri,” katanya kepada SinarPlus.
Berbeza dengan ramai pasangan selebriti, Harris dan Intan memilih untuk tidak terlalu terbuka mengenai kehidupan peribadi mereka.
“Kami bukan jenis yang suka kongsi semua perkara. Bagi saya, bahagia itu bukan untuk ditayang. Apa yang penting, kami tahu apa yang kami rasa.
“Tidak perlu setiap masa hendak muat naik gambar berdua atau tunjuk kemesraan sebab itu bukan cara kami,” jelasnya.
Menurut anak kelahiran Pulau Mutiara itu, tumpuan hidup mereka kini lebih kepada keluarga dan keseimbangan.
“Sekarang fokus saya lain, lebih kepada keluarga dan kerja yang dekat dengan rumah.
“Dulu masa bercinta lainlah, tetapi bila sudah berkahwin, kita lebih fikir apa yang realistik dan baik untuk semua,” ujarnya sambil tersenyum.
DARI DUNIA LAKONAN KE DUNIA STREAMING
Selain sibuk dengan kehidupan keluarga, pemilik nama penuh Nor Harris Alif Nor Rashidi itu kini aktif sebagai streamer permainan video (gaming streamer), satu bidang yang mula diceburinya secara serius sejak setahun kebelakangan ini.
“Saya mula main permainan video sekitar tahun 2020 hingga 2023, tetapi masa itu sekadar ikut kawan.
“Baru-baru ini, saya mula buat siaran langsung (live streaming) dan rasa makin seronok sebab boleh hasilkan kandungan yang menghiburkan,” katanya.
Bagi Harris, dunia permainan video bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya satu platform untuk dia terus berkarya.
“Dalam roleplay, kita boleh jadi apa sahaja sama ada hero, pelawak atau watak sedih.
“Ia seperti lakonan juga, cuma bezanya kita kawal sendiri watak itu dalam dunia maya. Bagi saya, itu satu bentuk kreativiti baharu,” ujarnya teruja.
Harris berkata demikian ketika ditemui SinarPlus pada majlis anjuran Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) baru-baru ini yang turut disertai beberapa streamer popular seperti Dy Pablo, Adam Hilman, ChipNiBoss dan Jaa Suzuran.
Menariknya, walaupun sering bermain permainan video hingga larut malam, bapa kepada dua cahaya mata itu bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada isterinya, Intan Ladyana.
“Alhamdulillah, Intan sangat positif. Dia kata, asalkan saya di rumah, dia okey.
“Kalau saya keluar malam-malam untuk aktiviti lain, dia tidak akan setenang itu. Jadi, bila saya main permainan video atau buat stream di rumah, dia lebih lega.
“Senang juga kalau nak tengok anak, tolong apa-apa, semua dekat,” jelas Harris.
Katanya lagi, ramai streamer lain yang juga suami dan ayah menjadikan aktiviti ini sebagai hobi dan sumber pendapatan tambahan.
“Sekarang ramai streamer yang sudah berkahwin dan ada anak kecil. Ini macam terapi bagi lelaki yang sejak kecil memang suka permainan video.
“Bezanya, kali ini kita main sambil boleh jana pendapatan juga. Ada penonton yang menyokong, beri hadiah (gift), jadi bukan sekadar main kosong,” katanya.
Menolak anggapan bahawa dia sekadar ‘main game untuk suka-suka’, lelaki berusia 26 tahun itu menjelaskan aktiviti streaming sebenarnya membuka rezeki baharu dalam hidupnya.
“Saya sendiri tidak sangka, daripada main permainan video boleh dapat pendapatan juga.
“Dulu saya banyak berlakon, tetapi sekarang saya perlahan-lahan kurangkan kerana komitmen keluarga. Kalau drama, kena outstation lama, sebulan lebih pun ada.
“Jadi, saya pilih kerja yang dekat dan boleh kawal masa,” katanya.
“Bagi saya, rezeki ini tidak semestinya datang dari satu jalan. Kalau kita rajin dan ikhlas, insya-ALLAH ada saja pintu yang terbuka.
“Cuma yang paling penting, kena pandai bahagikan masa. Ada waktu untuk kerja, untuk keluarga, dan untuk diri sendiri,” tambahnya.
Menutup bicara, Harris mengakui kehidupannya kini lebih seimbang dan tenang.
“Saya dan Intan bahagia dengan cara kami sendiri. Tidak perlu tunjuk semua kepada dunia.
“Apa yang penting, kami saling faham dan jujur. Itu yang paling bernilai,” katanya menutup perbualan penuh makna.