Tukar peguam saat akhir, prosiding cerai Kamal Adli & Uqasha Senrose ditangguh lagi

Iklan

PROSIDING  perceraian pelakon Kamal Adli dan Uqasha Senrose di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan ditangguhkan kepada 19 November depan selepas peguam yang mewakili pelakon wanita itu sebelum ini, Nurfarhana Abd Manaf, menarik diri daripada kes berkenaan.

Peguam syarie yang mewakili Kamal, Abdul Hadi Mohd Salleh, berkata prosiding hari ini hanya membabitkan sebutan di sebelah pihak defendan sahaja.

Iklan
Iklan

“Hari ini kita dikejutkan dengan situasi apabila peguam yang mewakili Uqasha sebelum ini menarik diri.

Jadi sebutan dijalankan di sebelah pihak Kamal sahaja kerana tiada peguam baharu yang hadir bagi pihak plaintif.

Iklan

Hakim kemudian memberi peluang dan amaran sekali lagi kepada Uqasha supaya hadir bersama peguamnya pada tarikh akan datang untuk meneruskan kes atau sebaliknya,” katanya kepada media.

Susulan itu, Hakim Syarie Siti Noraini Mod Ali menetapkan 19 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes perceraian pasangan berkenaan.

Iklan

Difahamkan, Uqasha tiba di mahkamah kira-kira sejam lewat daripada masa yang ditetapkan bersama kumpulan peguam baharu yang baru dilantik serta ditemani individu dikenali sebagai Coach Cerai. Bagaimanapun, prosiding telah pun selesai sebelum ketibaannya.

Pada prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan hari ini bagi sebutan semula kes selepas Kamal tidak hadir pada tarikh sebelumnya.

Rumah tangga pasangan itu dikatakan mula bergolak sejak April lalu. Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap di kediaman ibunya.

Pasangan selebriti itu sah bergelar suami isteri pada 4 November 2021 dalam satu majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.

Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu, manakala prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober, sebelum disambung semula pagi tadi.