TEKANAN hidup, tuntutan kerja, tanggungjawab keluarga, semuanya kadang-kadang buat wanita terlupa menjaga diri sendiri.
Ada yang terus tersenyum walau dalam hati serabut, ada yang diam kerana terlalu letih menjelaskan rasa. Dalam banyak hal, setiap wanita sebenarnya cuma mahu satu perkara iaitu ketenangan.
Dengan semangat itu, One World Muslimah (OWM) menganjurkan program Cahaya Hati 1.0: Bangkitlah Jiwa, Temui Cahaya Bahagia di Matrade Hall, Kuala Lumpur.
Program itu menjadi ruang buat wanita yang sedang berjuang dalam diam, untuk berhenti sekejap, bertenang, dan memperbaiki hubungan dengan Tuhan.
Presiden OWM, Noor Razlina Noor Mohamed, berkata penganjuran itu tercetus selepas melihat semakin ramai wanita kini berdepan tekanan emosi dan kehilangan arah.
“Ramai datang kepada kami dalam keadaan kecewa dan tidak tahu di mana hendak bermula. Melalui program ini, kami mahu bantu mereka mendekatkan diri kepada Tuhan dan belajar untuk kembali tenang,” katanya.
Menurutnya, tujuan utama bukan sekadar memberi ilmu, tetapi membantu wanita kembali bernafas dengan hati yang lebih lapang dan jiwa yang lebih kuat.
Lebih 1,000 peserta dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei hadir memeriahkan program berkenaan. Suasana di Matrade Hall terasa tenang dan bersatu, seolah-olah setiap yang hadir berkongsi satu rasa yang sama yakni mahu mencari semula kekuatan diri.
Program tersebut turut menampilkan Ustazah Dr. Oki Setiana Dewi, pendakwah dan pelakon terkenal dari Indonesia yang diterbangkan khas dari Mesir.
“Saya datang bukan sekadar menyampaikan ceramah, tapi juga untuk sama-sama bermuhasabah.
"Kalau ada yang menangis ketika mendengar, mungkin itu tanda ALLAH sedang menyapa hati mereka,” ujar Oki dengan nada lembut.
Turut menyerikan majlis ialah pasangan adik-beradik inspirasi ramai, Datin Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, atau lebih dikenali sebagai The Helmis.
Mereka berkongsi pengalaman dalam dunia kemanusiaan dan bagaimana iman menjadi kekuatan utama dalam menghadapi cabaran hidup.
Program berkenaan juga mendapat sokongan daripada jenama fesyen Muslimah terkemuka, Minaz, yang bukan sekadar menjadi penaja tetapi tampil sebagai rakan perjuangan wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif Minaz, Hafiza Abdul Hamid, berkata sokongan mereka bukan hanya tentang gaya dan fesyen, tetapi tentang kesejahteraan menyeluruh seorang wanita.
“Kami percaya kecantikan sejati bermula dari dalam.
"Di Minaz, kami mahu wanita bukan sahaja nampak anggun, tapi juga tenang dan yakin dengan diri sendiri,” katanya.
Menurut Hafiza, penglibatan Minaz dalam program itu menggambarkan nilai yang mereka pegang bahawa keindahan sebenar datang dari hati yang tenang dan jiwa yang kuat.
Melihat sambutan luar biasa, One World Muslimah kini merancang untuk meneruskan kesinambungan program tersebut di Brunei pada Disember ini.
Hasratnya jelas, mahu memperluas manfaat agar lebih ramai wanita di rantau ini mendapat ruang untuk memperbaiki diri dan mencari ketenangan jiwa.
“Kami mahu wanita sedar bahawa mereka tidak keseorangan. Kekuatan itu boleh dicari semula. Kadangkala ALLAH izinkan kita jatuh supaya kita tahu bagaimana untuk bangkit,” ujar Noor Razlina.