BERITA berkaitan perceraian penyanyi dan usahawan Nubhan kembali menjadi sebutan di laman sosial.
Isterinya, Dr Afifah Hidayah Tawfek percaya peranan ibu bapa tidak terhenti biarpun perlu berpisah.
Doktor gigi berusia 36 tahun itu berpendapat, perceraian bukan pengakhiran tanggungjawab sebagai ibu atau bapa. Malah mendidik anak dengan nilai kasih, hormat dan iman adalah tanggungjawab bersama.
"Walaupun perkahwinan berakhir, amanah untuk membimbing dan membesarkan anak tetap dipikul bersama.
"Bersama-sama, kita mendidik mereka tentang kasih, hormat, dan iman," titipnya.
Hantaran Dr Afifah di laman sosial Threads itu menyebabkan ramai tersentuh dan berharap perpisahan tidak semestinya bermusuhan, terutama apabila anak-anak menjadi amanah bersama.
Tidak kurang juga yang mahu dirinya memperjuangkan hak penjagaan tiga cahaya matanya.
Terdahulu, Nubhan telah memfailkan hak penjagaan kekal dan interim terhadap tiga anaknya iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada September lalu.