TAHNIAH diucapkan buat penyanyi dan anggota bomba, Syafiq Farhain, yang menerima Pingat Cemerlang Bomba atas dedikasi dan komitmen luar biasa dalam bidang tugasnya.
Menerusi perkongsian di media sosial, anak kepada penyanyi legenda dan vokalis Iklim, Allahyarham Saleem itu meluahkan rasa syukur atas penghargaan yang diterimanya sambil memohon doa agar terus maju jaya dalam kerjaya.
“Alhamdulillah, syukur atas pengiktirafan ini. Doakan saya terus maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi,” tulisnya ringkas namun penuh makna.
Warganet tidak lupa mengucapkan tahniah buat naib juara Big Stage 2018 itu dan berharap Syafiq meneruskan kerjaya sebagai penjawat awam.
"Alhmdulilah. Tahniah diatas pencapaian cemerlang. Semoga terus berkhidmat dengan cemerlang."
"Tahniah. Semoga kekal sebagai penjawat awam hingga bersara...bidang seni boleh dijadikan kerjaya sampingan....Insya- ALLAH terjamin masa hadapan."
Dalam majlis berkenaan, Syafiq menerima reben perkhidmatan dan sijil. Dia merupakan ahli bomba di Ibu Pejabat Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya dan pernah berkhidmat di Balai Bomba Dan Penyelamat, Tebrau, Johor
Untuk rekod, Syafiq mendirikan rumah tangga dengan Alia Nadia pada 10 Oktober 2021. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata.