DI era orang berlumba-lumba buka kafe hipster, pelawak Tauke Jambu pula muncul dengan sesuatu yang tidak terjangka apabila membuka kedai lempeng.
Simple, old-school, tapi peliknya… barisan pelanggan di Pasir Penambang, Kuala Selangor kadang-kadang lebih panjang daripada kafe viral.
Itulah tarikan rezeki yang sedang dikecapi pelawak ini, semuanya bermula daripada satu keputusan berani kembali kepada makanan paling humble yang orang selalu pandang sebelah mata.
Tak sampai sebulan beroperasi, kedai Tauke yang terletak di Pasir Penambang itu kini menjadi salah satu ‘spot’ wajib singgah bagi peminat makanan ringkas dan bajet.
Dalam kalangan penduduk setempat, namanya sudah mula meniti dari mulut ke mulut, bukan sebab status selebriti, tetapi kerana lempeng yang lembut, kenyang dan murah.
Berkongsi perjalanan awal bisnesnya bersama mStar, pemilik nama sebenar Zamatul Amri Zakaria itu berkata, idea membuka perniagaan ini sebenarnya tercetus daripada nostalgia yang kembali mengetuk ingatan.
"walaupun hidangan ini nampak mudah, realitinya masyarakat hari ini serba sibuk dan tak sempat menyediakan makanan ringkas seperti dulu.
“Lempeng ini mudah je nak buat tapi sekarang orang ramai sibuk, tak sempat nak buat sendiri. Dari situ datang idea nak buka kedai. Tak sangka pula sambutan sangat luar biasa.
“Baru nak dekat sebulan berniaga, Alhamdulillah kedai sentiasa penuh sampai tak sempat nak rehat,” katanya.
Apa yang membuatkan perniagaan ini lain daripada yang lain ialah niat di sebalik setiap kepingan lempeng yang dimasak.
Baginya, itu bukan sekadar mahu mengejar untung, sebaliknya sebahagian daripada usahanya untuk memberi manfaat kepada orang lain dalam situasi ekonomi yang mencabar.
“Untung ada, tapi saya tak kejar banyak pun. Cukup untuk saya teruskan hidup seadanya.
"Bagi saya, sebagai peniaga jangan terlalu ‘lambung’ harga."Kena ada juga bahagian untuk sedekah dalam setiap jualan,” ujarnya.
Tauke juga berpegang pada prinsip bahawa makanan asas seperti lempeng perlu kekal mampu milik untuk semua lapisan masyarakat, daripada pelajar, nelayan, pekerja harian, sehinggalah golongan pencen.
Dalam masa sama, dia tidak ambil peduli tentang suara-suara yang memperlekehkan artis yang berniaga kecil-kecilan di tepi jalan. Baginya, nilai rezeki jauh lebih penting berbanding persepsi orang.
“Saya dah lama dalam dunia hiburan, jadi saya tahu rezeki ini bukan datang dari pentas semata-mata.
“Sekarang saya laksanakan tanggungjawab saya sebagai suami dan ayah.
“Alhamdulillah, setakat ni saya teruskan selagi rezeki itu datang dengan cara yang halal,” jelasnya.
Dalam kerendahan hati dan kesederhanaan seorang pelawak, terselit satu pengajaran besar: rezeki tak pernah bergantung pada megahnya pentas, tetapi pada ikhlasnya tangan yang bekerja.
Sumber: mStar