KEHADIRAN pempengaruh dan usahawan, Prince Syed, 33, bersama isteri, Fatin Syazwani Ishak, 27, ke Mahkamah Majistret baru-baru ini mencuri tumpuan ramai.
Pasangan itu hadir untuk mengikuti prosiding yang melibatkan keluarga mentua mereka, namun tetap mengekalkan wajah tenang dan profesional walaupun menjadi tumpuan media.
"“Setakat ini kita tak tahu apa-apa lagi, tetapi nanti peguam saya akan jawab semua,” kata Prince Syed ringkas kepada Gempak.
Sementara itu, ibu bapa mentua Prince Syed, Aminah Haniffa, 55 dan Ishak Saif, 59, bersama dua adik ipar, Muhammad Ikhwan Alif Ishak, 22, dan Muhd Syahmi Faiz Ishak, 31, tiba di mahkamah sekitar jam 9 pagi.
Mereka kelihatan tenang dan mesra, tersenyum ketika disapa media, menampilkan wajah yang cuba mengekalkan ketenangan walaupun dibebani situasi sukar.
Memetik Harian Metro, Aminah, Ishak dan Muhammad Ikhwan Alif dipercayai akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 323/34 Kanun Keseksaan, manakala Muhd Syahmi Faiz dipercayai berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Kejadian bermula apabila mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang pada 2 November lalu selepas berlaku perselisihan faham dengan Prince Syed di kawasan perumahan Taman Bertih Laut, Teluk Pulai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah, mengesahkan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, semua yang ditahan dibebaskan dari lokap pada 3 November kira-kira jam 7 malam.
Ketegangan antara Aminah dan menantunya dipercayai tercetus selepas tular sebuah video di media sosial, yang mana Aminah mendakwa Prince Syed menghalang beliau berjumpa anak dan cucu.
Dalam video tersebut, Aminah turut mendakwa bahawa perkahwinan Prince Syed dengan Fatin Syazwani didakwa mempunyai tujuan tertentu, termasuk memaksa Fatin menjalani pembedahan bariatrik demi menjual produk pelangsingan badan.
Dakwaan ini nyata menimbulkan pelbagai reaksi hangat dalam kalangan netizen.