AKTRES Julia Farhana Marin berkongsi foto suasana mahkamah dalam hantaran Instagram terbaharunya sekali gus mengundang tanda tanya tentang status hubungannya dengan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum.
Pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang dan Langsuir itu menitipkan luahan buat Dr Che Hafiz dalam catatan panjang bertarikh 24 November 2026 dengan tajuk 'Surat Terbuka Buat Bekas Suami' seolah-olah memberi bayangan hubungan mereka sudah berakhir.
Menerusi catatan berkenaan, Julia mengimbau kembali perjalanan rumah tangga mereka, selain mengakui sudah berusaha sedaya upaya untuk menjadi isteri terbaik buat lelaki yang pernah menjadi teman hidupnya.
"Terima kasih, dari hati yang paling ikhlas, atas segala tahun yang telah awak lalui bersama saya dan segala usaha untuk menjadi suami terbaik buat saya. Saya harap awak tahu, saya juga sudah berusaha sedaya upaya, dengan segala cara yang saya tahu, untuk menjadi isteri terbaik buat awak.
"Mungkin tidak semua perkara dapat kita lakukan dengan sempurna. Barangkali ada ketika kita saling melukakan hati, meskipun bukan itu yang kita niatkan. Namun, saya harap di sebalik segala yang berlaku, awak tidak pernah meragui keikhlasan saya untuk mempertahankan hubungan kita.
"Namun, apakan daya, qada dan qadar, itulah takdir kita. Mungkin begitulah jalan cerita yang telah ditentukan buat kita. Sesukar mana pun untuk menerima kenyataan ini, akhirnya kita sampai ke satu titik apabila perceraian menjadi satu-satunya jalan terbaik untuk kita berdua meneruskan kehidupan," titipnya.
Bukan mudah untuk melepaskan seseorang yang pernah menjadi tempat berkongsi kehidupan. Namun, dalam menerima ketentuan itu, Julia memilih untuk mengenang segala yang pernah mereka lalui tanpa menafikan usaha masing-masing mempertahankan rumah tangga.
"Saya harap awak dapat memaafkan saya, sebagaimana saya sudah berdamai dengan segala yang berlaku dan memaafkan awak. Saya tidak mahu membawa rasa terkilan atau dendam dalam apa jua yang bakal kita lalui selepas ini.
"Saya akan sentiasa bersyukur atas tahun-tahun yang kita lalui bersama, pengalaman yang membentuk diri kita, pengajaran yang kita peroleh serta diri kita yang pernah wujud sepanjang fasa kehidupan itu. Tidak semua yang kita lalui sempurna, namun itu tidak bermakna semuanya tidak membawa erti.
"Saya harap kehidupan sentiasa memihak kepada awak. Semoga awak menemukan kebahagiaan, ketenangan, kesihatan yang baik dan cinta yang membuatkan awak berasa difahami, dihargai serta diterima seadanya. Saya juga berharap awak berjaya mencapai segala yang pernah awak impikan untuk diri sendiri. Dan saya harap awak turut mendoakan perkara yang sama buat saya," coretnya.
Biarpun hubungan mereka berakhir dengan episod duka, Julia masih menghargai segala pengalaman sepanjang mereka bersama.
"Saya berharap kita berdua menemukan ketenangan yang mungkin tidak berjaya kita kecapi ketika bersama.
"Tidak perlulah kita menoleh ke belakang dengan rasa pahit atau hanya mengingati satu sama lain melalui segala perkara yang tidak menjadi seperti diharapkan. Kita pernah menjadi dua insan yang memilih satu sama lain, membina kehidupan bersama dan benar-benar berusaha mempertahankan hubungan ini.
"Saya fikir ada sesuatu yang wajar kita hargai daripada semua itu, meskipun perjalanan kita bersama tidak sepanjang yang pernah kita bayangkan," luahnya.
Pelakon berdarah campuran Melayu dan Itali itu turut menitipkan doa agar segala kekurangan mereka diampunkan ALLAH, selain berharap segala luka yang masih tersisa dalam hati dapat disembuhkan.
"Saya doakan yang terbaik buat awak. Terima kasih kerana pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya dan turut mewarnai perjalanan kisah hidup saya.
"Semoga ALLAH mengampuni segala kekurangan kita, mempermudah urusan dan perjalanan hidup kita, menyembuhkan segala luka yang masih tersisa dalam hati serta mengurniakan kebahagiaan buat kita berdua dalam kehidupan yang mendatang.
"Jaga diri baik-baik. Dan terima kasih, atas segala-galanya, Che Hafiz," titipnya.
Untuk rekod, berkahwin dengan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada 14 Disember 2022. Baru-baru ini Julia mendedahkan dia dan doktor perubatan itu sudah tidak bertemu selama kira-kira tujuh bulan dan bakal memfailkan perceraian selepas mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.
Pelakon berusia 32 tahun itu juga berkongsi meninggalkan kediaman yang pernah didiami bersama suami sehelai sepinggang selain berusaha membina semula kehidupannya.
Sekadar info, Dr Che Hafiz sebelum ini pernah berumah tangga dengan pelakon Lufya Omar pada tahun 2016 namun berpisah pada tahun 2020.