ADA orang berubah kerana trend, ada yang berubah kerana desakan sekeliling.
Tetapi ada juga insan yang memilih jalan hijrahnya dengan penuh jujur perlahan, tenang dan akhirnya berakar dalam hati.
Itulah pendirian penyanyi dan pelakon legenda, Noor Kumalasari, yang bakal menginjak usia 70 tahun tahun hadapan.
Walaupun semakin matang usia, istiqamah hijabnya langsung tidak berganjak, malah semakin kuat memeluk dirinya seperti sebahagian daripada jiwa yang tak pernah ditinggalkan.
Mesra disapa dengan panggilan Kak Noor, anak kepada primadona tersohor, Allahyarhamah Datuk Umi Kalthum itu membuka bicara awal penghijarahannya ketika usianya memasuki 40 tahun.
Tidak lama selepas itu, rasa selesa dan cinta pada hijab hadir begitu mendalam sehingga adik kepada penyanyi Anita Sarawak enggan menanggalkannya walaupun ketika tidur.
Ya, begitulah kuat ikatannya dengan hijab, satu prinsip yang jarang dapat dilihat dalam dunia selebriti hari ini.
Ditanya ketika ditemui di Pelancaran Nafesa dan Koleksi The Alhambra Monogram baru-baru ini, kak Noor mengakui, hijab bukan sekadar pakaian tetapi sudah melekat sebagai identiti.
Dengan senyuman yang masih lembut seperti zaman kegemilangannya, pemilik nama sebenar, Noor Kumalasari Mohamed Taib berkongsi sesuatu yang membuat ramai tersentuh.
"Saya cakap dah biasa. Memang tudung ini ibaratnya sebahagian daripada diri saya,"dedahnya.
Memilih istiqamah dalam berhijab, tegas pelantun lagu Selamat Pagi Sayang, itu bukan dibuat-buat, mahu menunjuk atau kerana kerana imej. Sebaliknya itu semua dilakukan kerana hati.
Dalam pada itu, empunya diri bercerita bagaimana ahli keluarga pada awalnya berasa ‘rimas’ apabila melihat dirinya bertudung di dalam rumah.
"Bila ia sebati dengan kita, ia akan ikut kita ke mana-mana," lafaznya penuh syukur.
TENANG DAN KONSISTEN
Walau kelihatan tenang dan konsisten, dia yang pernah menjadi pasangan duet menyanyi bersama Allahyarham Sudirman tidak menafikan perjalanan istiqamah itu penuh cabaran dan ujian.
"Bayaran dalam RM200 ribu. Tapi syaratnya… kena buka tudung," dedahnya.
Pun demikian tanpa ragu, kak Noor menolak.
“Saya tak akan buka tudung untuk sesiapa. Saya buat kerana ALLAH, bukan kerana duit.
"Kalau saya buka, ALLAH akan marah. Saya tak sanggup,"ungkapnya lagi.
Ketegasan itu juga menjadi pesanan penting buat artis muda.
“Bagus kalau mereka (artis) cuba pakai tudung dalam lakonan. Kadang watak itu sendiri jadi permulaan hijrah. Kita tak tahu, mungkin itu titik perubahan mereka," ujarnya lagi penuh makna.
Dalam dunia hari ini, ramai yang memakai tudung atas pelbagai sebab tekanan sosial, trend, tuntutan kerja, atau kehendak pasangan.
Tetapi bagi dirinya sendiri, semuanya harus kembali pada satu titik utama: niat.
"Insya-ALLAH ia kekal sampai akhir. Orang berhijab ni, ALLAH akan jaga dia.
“Jangan pandang ringan. Kadang dia buka sebab belum kuat. Dia not very strong yet. Dia kena tanya diri sendiri, pakai tudung tu sebab apa?," jelasnya lagi.
Bagi Noor, hijab bukan sekadar penutup aurat. Ia membentuk sikap, tingkah laku, serta cara seseorang membawa diri.
“Penampilan dan karakter masing-masing… lain kalau kalian dah berhijab. Tudung bagi semangat. ALLAH akan jaga,"kongsinya lagi.