DUNIA hiburan tanah air menerima berita gembira apabila ibu kepada penyanyi Shila Amzah selamat melangsungkan perkahwinannya pada Sabtu.
Momen bahagia ibu Shila, Fauziah Sarman dan suami, Brigedier Jeneral Zainal Abdidin Mohd Salleh turut dikongsikan pelakon Serina Redzuawan.
"Syukur Alhamdulillah selesai sempurna sudah majlis pernikahan Kak Zie dan Tuan Zainal.
"Majlis berjalan lancar sederhana tapi meriah dan terpancar kebahagiaan wajah kedua pasangan raja dan ratu sehari.
"Moga perkahwinan yang dibina atas dasar cinta, izin dan rahmat ALLAH ini sentiasa dilindungi serta bahagia ke akhir hayat. Amin," titip Serina.
Anak kepada Datuk Chef Wan itu turut mendedahkan dirinya bertindak sebagai orang tengah dalam menyatukan pasangan itu.
"Alhamdulillah, adik sebagai orang kata penemu, orang tengah rasa sangat bahagia. Maka dua jiwa disatukan pada hari ini.
"Semoga berbahagia kepada Abang Zainal. Jangan lupa jaga kakak baik-baik. Jangan kecewakan dia, okay. Dan kepada kakak juga jadilah isteri yang terbaik, isteri solehah buat suamimu. Semoga kalian berdua bersatu di taman syurga nanti. Selamat pengantin baharu," tuturnya lagi.
Serina terdahulu berkongsi beberapa foto pertemuan Fauziah dan Zainal sebelum ini.
Dalam majlis yang berlangsung di Bandar Baru Bangi, Selangor itu, Fauziah sah menjadi isteri Zainal dengan sekali lafaz. Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 kepada pengantin perempuan.
Warga maya tidak lupa memberikan ucapan tahniah dan mendoakan perkahwinan Fauziah dikurniakan kebahagiaan yang berpanjangan.
"Alhamdulillah selepas episod duka, ALLAH hadiahkan bahagia. Moga kekal bahagia dalam rahmat ALLAH."
"Alhamdulillah semoga kekal hingga ke jannah Mama Zie."
"Selamat pengantin baharu, moga sentiasa berbahagia selamanya."
Untuk rekod, Fauziah pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk ND Lala dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada.
Mereka disahkan bercerai pada 2 Ogos 2023.