PEREKA fesyen terkemuka, Hatta Dolmat, kembali mengisi pentas peragaan apabila mempersembahkan koleksi terbaharu berjudul The Quiet Power sempena penganjuran Fashionably Modest Asia 2025 yang berlangsung di Pavilion Arena, Pavilion Damansara Heights baru-baru ini.
Acara berprestij itu menjadi pentas untuk Hatta menzahirkan penghormatan kepada wanita moden yang berpegang pada nilai kesopanan, namun tetap teguh, berprinsip dan berwibawa.
Pada peringkat konsep, beliau menegaskan bahawa The Quiet Power adalah simbol kekuatan yang tidak memerlukan suara lantang untuk dihormati.
Koleksi berkonsepkan 'modest' itu mengetengahkan gabungan elemen kesederhanaan, inovasi dan keanggunan yang melambangkan keyakinan seorang wanita berjiwa besar.
Naratif yang dibina menonjolkan figura yang bergerak dengan tujuan, memimpin dengan maruah, serta mengekalkan sikap lembut namun tidak terhad dalam potensi.
Pertunjukan turut menampilkan segmen istimewa dikenali sebagai Icon Walk, menggabungkan dunia fesyen dan semangat nasional melalui kehadiran tujuh ikon wanita negara dari pelbagai cabang sukan. Kesemuanya dipilih kerana memperlihatkan kekuatan peribadi yang senyap tetapi berpengaruh.
Antara yang menyerlah pada malam tersebut ialah juara dunia Lawn Bowl 2023, Nor Farah Ain; pemain bola jaring kebangsaan, Nor Amirah Dayana; perenang remaja, Isabelle Chiyi Buckley; pemain futsal dan jurulatih SUKMA, Nur Izwani Azman; jaguh boling dunia, Natasha Mohamed Roslan; pemenang podium antarabangsa, Nur Hazirah Ramli; serta pendaki muda, Siti NurSara, yang dikenali kerana ketabahan dan keberanian luar biasa.
Setiap seorang membawa aura tersendiri, seiring visi Hatta dalam menonjolkan wanita yang berpaksikan nilai serta kukuh dalam pendirian.
Melengkapkan barisan ikon ialah figura kemanusiaan, Zizi Kirana, yang semakin dikenali atas penyertaannya dalam misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Penyanyi itu membawa mesej kemanusiaan melalui tindakan, bukan kata-kata, selaras dengan tema The Quiet Power.
Keberanian Zizi menyerlah sebagai simbol keteguhan wanita yang tidak perlu bersuara lantang untuk memberi impak besar. Hatta menyifatkan kehadirannya sebagai lambang kekuatan yang bergerak dalam diam, tetapi tetap menggugah hati masyarakat.
Malam berkenaan turut diserikan dengan persembahan oleh penyanyi muda Ammad Dayyan dan Amelya Azizan, sekali gus menambah dimensi emosi terhadap tema ketabahan dan perpaduan yang dibawa koleksi tersebut.