KEMBALI aktif dalam dunia lakonan bukan sekadar langkah kecil untuk Rozita Che Wan atau Che Ta, tetapi menjadi momen yang menghidupkan semula aura bintangnya tahun ini.
Selepas tiga tahun memberi tumpuan pada dunia perniagaan, kemunculannya sebagai Kak Ju dalam drama Bahagia Yang Tertangguh mencuri perhatian ramai.
Bukan kerana gaya glamor seperti yang selalu dikaitkan dengannya, tetapi kerana karakter antagonis yang begitu menjadi sampai menimbulkan ‘ribut’ dalam kalangan penonton.
Sejak episod awal, watak Kak Ju menjadi fenomena. Ruang komen Che Ta mula dipenuhi kecaman, namun semua itu disambutnya dengan senyuman.
“Sejak episod awal lagi, bayangkan sudah berbakul-bakul komen dan kecaman penonton saya terima.
"Siap pakej makian minta Kak Ju ditidurkan pihak KKM,” katanya sambil ketawa kecil mengenang reaksi penonton yang terlalu menghayati drama tersebut.
Ada pula yang mengugut untuk ‘memijak’ watak itu jika terserempak. Baginya, itu semua bukti watak itu benar-benar sampai ke hati penonton.
Che Ta tidak melihat segala kecaman itu sebagai ancaman, malah satu bentuk penghargaan kepada kerjanya.
“Apabila watak itu meninggalkan kesan di hati penonton tak kira positif atau negatif, bererti diri ini sudah cuba memberikan sehabis baik,” katanya.
Dia mengakui watak tersebut mengembalikan memorinya terhadap karakter Kiah Pekasam suatu ketika dahulu.
“Cuma bezanya, inilah kali pertama saya berlakon watak antagonis. Jujur tak sangka watak itu semakin berbekas di hati penonton," ungkap ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi.
Namun, dia turut mengakui bekerja bersama Osman Ali memberikan pengalaman yang cukup berharga.
Katanya, hari-hari awal penggambaran sedikit ‘bergoncang’ apabila dia dan beberapa pelakon lain ditegur kerana belum ‘panas’.
“Cuma selepas sekian lama tak berlakon dan masuk set, kami memang kena tegur.
"Bila tak sampai tahap kepuasannya, dia akan terus cabar dan minta saya keluarkan lagi sisi jahat Kak Ju,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Che Ta memuji cara pengarah itu menjaga perjalanan karakter pelakon. “Dia jenis pengarah yang nak kita nampak cantik di skrin. Dia sangat komited,” katanya.
Tidak kurang juga dengan reaksi keluarga terhadap wataknya itu. Anak-anaknya sendiri berseloroh mengatakan watak Kak Ju seperti dirinya.
“Tapi saya di rumah tidaklah sekejam Kak Ju,” katanya ketawa.
Malah kawan anaknya di Jerman turut terkejut melihat lakonan garang dan ‘laser’ itu kerana terlalu jauh daripada personaliti sebenar Che Ta di rumah.
Menariknya, Che Ta mengakui watak antagonis sebenarnya lebih mudah dibawa berbanding watak protagonis.
“Watak jahat macam ini tak perlu nak control. Lepaskan saja apa yang mahu diluahkan.
"Kalau watak baik pula, kita kena banyak kawal emosi,” katanya jujur.
Namun selepas drama ini, dia memilih untuk berehat seketika daripada membawa watak jahat.
“Bukan tak nak lagi jadi jahat, tapi mungkin saya letakkan jurang atau tempoh masa,” tambahnya.
Bersyukur dengan peluang yang diberikan, Che Ta berterima kasih kepada produksi dan stesen TV yang berani mencabarnya membawa watak di luar zon selesa.
“Mereka berani cabar saya dengan watak sebegini dan keluar dari kepompong kebiasaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Che Ta menganggap kejayaan drama ini sebagai rezeki dan tuah yang sangat kena pada masanya.
“Kadang-kadang jalan cerita bagus dan pelakon hebat pun bukan tiket jaminan sesebuah drama itu akan boom.
"Tapi syukur drama ini diterima dan mendapat sambutan baik,” katanya.
Sekadar makluman, drama yang meraih perhatian ramai itu merupakan adaptasi novel karya Rissa Ahdiya itu turut diperkasakan olahan skrip Oka Aurora, penulis dari Indonesia yang pernah menghasilkan karya sensasi seperti Ipar Adalah Maut dan Norma.
Dengan barisan pelakon mantap seperti Nad Zainal, Kamal Adli, Izzue Islam, Riz Amin dan Mimi Ernida, drama 28 episod itu bukan sahaja menghidupkan semula karakter Kak Ju, tetapi membuka halaman baharu buat Che Ta yang menampilkan dirinya lebih matang, berani dan bersedia menerima apa saja cabaran selepas ini.
Sumber foto: Azim Wahab (Ihsan Rozita che wan)