AYAH mana yang tidak bangga dan bersyukur apabila anak-anak seorang demi seorang mencapai kejayaan baik dalam akademik mahupun sukan.
Itulah situasi yang dilalui angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, apabila menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anak-anaknya sempena Hari Anugerah Sekolah yang melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Rendah Agama (SRA).
Menurut beliau, kejayaan yang diraih bukan sesuatu yang hadir dengan mudah.
Sebaliknya, ia hasil usaha berterusan anak-anaknya yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dan menyerlah dalam bidang kokurikulum serta sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Mereka bukan sahaja bekerja keras dalam akademik, malah berlatih dan berusaha sepenuh hati dalam kokurikulum serta sukan,” katanya.
Di peringkat Sekolah Kebangsaan, Adam menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Murid selain meraih Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Antarabangsa.
Noah pula dinobatkan penerima Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan, manakala Tasha menerima Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Antarabangsa.
Kecemerlangan itu diteruskan di Sekolah Rendah Agama, apabila Adam sekali lagi menyerlah dengan Anugerah Kecemerlangan Akademik serta Terbaik Mata Pelajaran, diikuti Noah yang turut menerima Kecemerlangan Akademik.
Bagi Dr Sheikh Muszaphar, kejayaan ini lahir daripada disiplin tinggi, latihan berterusan serta sokongan keluarga yang konsisten. Beliau turut berkongsi bagaimana peranan ibu bapa memainkan peranan besar dalam membentuk keyakinan dan semangat anak-anak.
" Sama ada dalam latihan, sukan mahupun pertandingan, sokongan itu amat bermakna buat anak-anak,” tulisnya di Instagram.
Namun, akuinya, tuntutan kerja ada kalanya memerlukan pengorbanan. Dr Sheikh Muszaphar terpaksa melepaskan peluang menghadiri Hari Anugerah Sekolah kali ini kerana komitmen tugas sempena Sukan SEA di Bangkok.
Walaupun tidak dapat hadir secara fizikal, rasa bangga sebagai seorang bapa tetap tidak berbelah bahagi.
"Salah seorang daripada kami mesti berada di sisi, apa pun keadaannya.
“Daddy pun happy. Daddy is proud of you kids,” katanya lagi.