TIADA yang mustahil, selagi berani bermula. Pada saat ramai memilih untuk memperlahankan langkah, penyanyi dan pengacara terkenal Ifa Raziah membuktikan bahawa usia bukan noktah kepada impian.
Menginjak ke usia 50 tahun, figura versatil ini mencipta detik peribadi yang cukup bermakna apabila berjaya menggenggam segulung ijazah, satu pencapaian yang lahir daripada perjalanan panjang penuh jatuh bangun, air mata dan doa.
Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha menerima Ijazah Keusahawanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.
Detik bersejarah itu disambut dengan rasa syukur mendalam, bukan sekadar atas kejayaan akademik, tetapi kemenangan terhadap diri sendiri.
"Dengan izin ALLAH SWT, saya menggenggam segulung ijazah Keusahawanan dan Kemahiran daripada TVET TEC Malaysia bertempat di USIM,” katanya penuh emosi.
Menurut Ifa, pencapaian tersebut bukan miliknya seorang. Ia berdiri atas nama jenama yang dibina daripada keberanian, dibesarkan dengan keringat dan dipertahankan dengan keteguhan jiwa.
“Kemenangan ini bukan milik saya seorang. Ia berdiri atas nama STARVENDORS jenama yang lahir dari keberanian, dibesarkan dengan keringat dan dipertahankan dengan keteguhan jiwa.
"Ijazah ini bukan tentang gelaran, tetapi tentang perjalanan yang tidak pernah menyerah,” jelasnya.
Lebih menyentuh hati, Ifa turut menzahirkan penghargaan kepada insan-insan terdekat yang menjadi nadi kekuatannya sepanjang perjalanan menuntut ilmu, terutama suami dan anak-anak.
"Ijazah ini bukti bahawa ilmu tidak pernah mengenal usia, dan impian tidak pernah mengenal penamat," ungkapnya lagi.
Pembakar semangat
Dalam masa sama, Ifa tidak melupakan jasa dan doa kedua-dua ibu bapanya yang telah pergi, namun sentiasa hidup dalam setiap langkah perjuangannya.
"Hari ini, saya tahu abah dan mak pasti bangga melihat anakmu berdiri teguh,” katanya sebak.
Mengimbas kembali perjalanan pengajiannya, Ifa mengakui tempoh tersebut mengambil masa yang panjang kerana perlu diseimbangkan antara pelajaran dan kerjaya.
Namun, segala kritikan yang diterima dijadikan pembakar semangat untuk terus melangkah.
“Kritikan itulah yang membuatkan saya ingin membuktikan kepada diri sendiri bahawa usia, status atau populariti bukan penghalang untuk terus berkembang dan memperbaiki diri.
"Bidang keusahawanan ini sangat dekat dengan diri saya dan selari dengan perjalanan hidup yang telah lama saya lalui,” katanya.
Ifa turut menitipkan nasihat kepada golongan selebriti dan masyarakat agar tidak terlalu bergantung kepada populariti semata-mata, sebaliknya menjadikan ilmu sebagai bekalan jangka panjang.
"Pelajaran bukan untuk menunjuk, tetapi untuk membantu kita membuat keputusan yang lebih bijak dalam hidup dan kerjaya,” katanya.
Menutup bicara, Ifa menegaskan bahawa tiada istilah terlalu lambat untuk belajar, selagi seseorang itu masih berani bermula.
"Dengan ilmu sebagai asas, iman sebagai pegangan dan keberanian sebagai nadi, saya percaya masa depan itu boleh dibina,” ujarnya.
Tahniah SinarPlus ucapkan buat Ifa Raziah. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi bahawa ilmu tidak pernah mengenal usia dan impian sentiasa menunggu mereka yang tidak pernah menyerah.