USAHAWAN tersohor, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menjadi inspirasi anak ramai selepas muncul sebagai penyumbang zakat perniagaan tertinggi di Selangor.
Baru-baru ini, beliau menunaikan bayaran sebanyak RM2 juta menerusi syarikat miliknya, D'Herbs Holdings Sdn Bhd, kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Jumlah yang tinggi mendapat perhatian membuatkan ramai mencongak jumlah pendapatan keseluruhannya kononnya mencecah RM80 juta.
Menerusi video tular Media Hiburan, figura yang terkenal dengan gelaran Abang Terlajak Laris itu sempat berseloroh jumlah tersebut tidak tepat, malah kurang daripada yang sebenar.
"Takkanlah 80 juta, sikit sangat. Sebenarnya lebih, tak adalah saya hanya bergurau.
"Maaf saya hanya bergurau. Sejujurnya berapa pendapatan tu biar saya sahaja yang tahu.
"Kerana apabila kita bercerita tentang kelebihan ramai orang akan benci. Jadi, bagi saya jumlah zakat tu perlu dikongsikan tapi pendapatan tu biarlah rahsia.
"Berapa jua pendapatan saya, pendapatan yang lain tu biarlah saya dengan ALLAH yang tahu kerana saya yakin selepas usia semakin meningkat ini the more we show, the more people hate. Itulah kenyataannya," kongsinya.
Dinobatkan sebagai Ikon Usahawan 2025 oleh Majlis Belia Wilayah Persekutuan Mei lalu, Aliff mengakui kesilapannya dahulu yang menunjuk kemewahan sebagai 'flex'.
"Saya belajar daripada apa yang terjadi dahulu. Saya suka show off kan? Papa tunjuk beg, tunjuk barang kemas, tunjuk kemewahan. Ia sebenarnya menimbulkan dua persepsi.
"Persepsi orang yang melihatnya tengok sebagai madu dan ada juga melihat dengan lalat yang busuk.
"Jadi saya lebih suka menutup apa sahaya yang tidak perlu ditunjuk kepada masyarakat kerana zaman sekarang ramai orang susah. Jadi, saya perlu menjaga sensitiviti," ujarnya.
Dalam pada itu, suami kepada Datin Seri Shahida Mohd Rashid itu mendedahkan, bukan sahaja menyalurkan zakat kepada LZS, malah ke negeri-negeri lain di Malaysia.
Dalam masa yang sama usahawan berusia 39 tahun itu juga mengakui memberi adalah satu kejayaan peribadinya sementelah dilahirkan dalam keluarga yang susah. Prinsipnya, tdak akan miskin seseorang apabila memberi.
"Orang kata rakyat Malaysia kaya raya dan senang tetapi hakikatnya, ramai juga yang susah.
"Jadi apabila dapat memberi sumbangan walaupun tidak banyak ia satu kejayaan bagi saya.
"Saya lahir di rumah sahaja dan ayah saya seorang pengawal keselamatan. Amaun (2 juta) itu terlalu besar.
"Dengan memberi rezeki semakin murah walaupun saya menjual barang murah.
"Ramai orang hina saya sudah miskin kerana menjual buah, durian atau jeruk tetapi sebenarnya hasil jualan itulah yang mampu membantu orang yang susah," kongsinya.
Sekadar info, Aliff Syukri menerusi syarikatnya sering kali muncul sebagai penyumbang tertinggi zakat pendapatan di Selangor saban tahun sekali gus menjadi inspirasi ramai.
Sumber: Instagram Media Hiburan