KENANGAN zaman kecil bersama ibu bapa pastinya menjadi antara memori yang sukar dilupakan.
Momen itulah yang dikongsikan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah menerusi hantaran di Instagram apabila meluangkan masa bersama dua cahaya matanya, Ayden dan Ara, untuk membeli kelengkapan persekolahan.
Lebih menarik, perkongsian tersebut turut memperlihatkan suaminya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama mereka dalam aktiviti membeli-belah berkenaan.
Menerusi video yang dimuat naik, Ayden dan Ara dilihat memilih kasut dan pakaian, selain mendapatkan bantuan ketika mencuba kelengkapan diperlukan.
Bagi Bella, pengalaman itu sebenarnya cukup bermakna kerana mengingatkannya kepada kenangan zaman kanak-kanaknya ketika keluar membeli barang persekolahan bersama ibu dan bapa.
"Dari Bella kecil sampai dah besar, kenangan keluar beli barang sekolah dengan mama ayah masih Bella simpan dalam hati.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut berharap pengalaman kecil yang dilalui anak-anaknya hari ini akan menjadi kenangan indah apabila mereka dewasa kelak.
"Semoga kenangan kecil hari ini menjadi kenangan indah mereka bila dah besar nanti insya-ALLAH!
"Syukur bila dalam sibuk, masih boleh ada waktu untuk anak-anak," ujarnya.
Hantaran berkenaan menerima perhatian warga maya. Rata-rata tersentuh melihat gelagat Ara dan Ayden, lebih-lebih lagi apabila Syed Saddiq turut melayani kerenah mereka sepanjang memilih kelengkapan persekolahan.
Momen sederhana itu pastinya menjadi antara kenangan manis buat dua beradik berkenaan apabila mereka dewasa kelak.
Sumber: Instagram